Home » » 2crank.com sasar bakat band indie

2crank.com sasar bakat band indie

Akhir-akhir ini, perkembangan dan kemunculan band-band indie bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Ada yang sudah berjaya menempa nama dan ada juga yang masih tercari-cari platform untuk bertapak dalam dunia hiburan tempatan.

Memiliki bakat besar dalam muzik di samping mampu menyanyi dengan baik, sebahagian mereka kini semakin mengukuhkan tapak dengan konsep muzik tersendiri.

Kumpulan Hujan antaranya mula mencuit hati pendengar melalui lagu Bila Aku Sudah Tiada sehingga membuatkan stesen-stesen radio tempatan berlumba-lumba memutarkan lagu tersebut.

Tidak kurang Estranged, Meet Uncle Hussein, Bittersweet serta The Times yang tampil dengan kekuatan masing-masing.

Melihatkan perkembangan pengaruh band indie, sebuah portal muzik iaitu 2crank.com tampil sebagai orang tengah dalam mengangkat serta mempopularkan band indie yang masih merangkak dalam industri muzik.

Bukan hanya band indie, 2crank.com yang mula beroperasi sejak September lalu turut memberi laluan kepada pemuzik amatur dan komposer untuk mengetengahkan muzik mereka ke pentas global.

Menariknya, dengan cara menghantar hasil karya mereka ke dalam 2crank.com, mereka akan mendapat khidmat nasihat serta penilaian daripada komposer terkenal, Fauzi Marzuki.

Selaku Pengarah Projek dalam 2crank.com, Fauzi yang berpengalaman selama 30 tahun dalam industri muzik akan mengetuai pemuzik-pemuzik profesional untuk memastikan karya tersebut mencapai tahap yang dikehendaki serta mempunyai nilai komersial.

Antara pemuzik profesional yang menyertai 2crank.com adalah Roslan Aziz, Adnan Abu Hassan, Jenny Chin, Azam Dungun dan Ajai.

2crank.com juga bukan hanya sekadar portal muzik tetapi turut menyelitkan penulisan mengenai isu terkini bidang muzik yang buat masa ini ditulis sendiri oleh Fauzi.

Bagi mendapatkan respons orang ramai, mereka juga boleh mengambil bahagian dalam memberi sebarang ulasan mengenai muzik atau isu yang diutarakan itu dengan mendaftar sebagai ahli.

Tiada bayaran yang dikenakan untuk menjadi ahli termasuk band indie atau pemuzik amatur yang mahu menghantar karya mereka ke 2crank.com.

Menurut Pengarah dan Pengasas Rank Production yang mengendalikan 2crank.com, Mohmad Hazmi Ya'cob, portal muzik itu merupakan yang pertama menyediakan khidmat nasihat daripada pemuzik profesional mengenai penghasilan karya daripada mereka yang menyertai 2crank.com.

"2crank.com nyata berbeza daripada portal muzik sedia ada. Ia bertujuan untuk mengasah bakat-bakat baru di samping menaikkan lagi industri muzik tempatan.

"Kita hanya sediakan platform. Mana tahu satu hari nanti hasil karya mereka mendapat perhatian syarikat rakaman. Itu sudah menguntungkan,'' katanya ketika ditemui Hits di pejabatnya, baru-baru ini.

Rank Production beroperasi di No. 15-2A, Jalan UP1/2, Ukay Perdana Business Centre, Ampang, Selangor.

2crank.com boleh dilayari menerusi www.2crank.com dan sehingga kini sudah mengumpul seramai 80 ahli berdaftar.

Ujar Mohmad Hazmi, untuk mengembangkan lagi penggunaan 2crank.com, Rank Production sedang membangunkan beberapa aplikasi baru seperti carta lagu atau band terbaik, radio online serta sistem jual beli dalam talian khususnya muat turun lagu serta peralatan muzik.

"Kami juga merancang untuk menganjurkan konsert dan album kompilasi yang menghimpunkan band-band indie dalam 2crank.com.

"Ketika ini, kami sedang menggiatkan usaha mencari penaja atau pengiklan bagi meneruskan operasi 2crank.com,'' jelasnya.

Ditanya mengenai isi kandungan lain di dalam 2crank.com, Mohmad Hazmi berkata, ia bukanlah laman web gosip tetapi isu yang ditulis oleh Fauzi lebih menjurus kepada pembangunan muzik tanah air.

"Akan datang kami akan buka penyertaan kepada semua peminat seni untuk mengirim artikel masing-masing.

"2crank.com juga turut memuatkan temu bual khas bersama band indie dan pemuzik amatur yang menyertai 2crank.com,'' katanya.

Menurutnya, 2crank.com mengalukan para penaja dan pengiklan untuk bersama membangunkan portal muzik berkenaan yang dilihat sebagai satu dimensi baru dalam industri muzik tempatan.

Sebarang pertanyaan, jelasnya, mereka boleh menghubungi Rank Production di talian 03-4105 0705 atau e-mel ke admin@2crank.com.

Kecewa dengan industri muzik tempatan

Sementara itu, Fauzi memberitahu, penubuhan 2crank.com antara lain terdetik daripada kekecewaannya terhadap situasi industri muzik tanah air ketika ini.

Jelasnya, dengan adanya 2crank.com, ia sedikit sebanyak membantu mengembalikan semula kegemilangan band tempatan untuk menyaingi muzik luar.

"Band yang ingin menyertai 2crank.com tidak hanya tertumpu kepada band indie atau rock.

"Band-band tradisional atau dari genre muzik lain seperti jazz juga boleh mengetengahkan hasil mereka dalam portal itu.

"Pihak luar juga boleh menyertai sama. Buat masa ini 2crank.com telah mendapat penyertaan sebuah band dari Amerika Syarikat,'' tambahnya.

Kata Fauzi, 2crank.com merupakan portal muzik tanpa sempadan dan hasil karya masing-masing sudah pasti akan dapat dilihat oleh mana-mana pihak di seluruh negara.

"Untuk itu, ia juga membuka ruang kepada band dan pemuzik amatur dikenali baik pasaran tempatan mahupun global,'' jelasnya.

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

2crank.com sasar bakat band indie @ Lirikami

0 Komen:

Catat Ulasan

 
◄Design by Lirikami