Home » » Dibius Cinta - Gandingan sulung Yusry & Melly

Dibius Cinta - Gandingan sulung Yusry & Melly

Filem sekuel Cicak-Man iaitu Cicak-Man 2: Planet Hitam hanya akan menemui peminat setia filem berkenaan bermula bulan depan.

Namun, pihak penerbitnya, KRU Studios sudah pun merangka pelbagai strategi dalam menarik minat penonton untuk terus menanti dengan penuh teruja dengan kemunculan Cicak-Man 2 di pawagam kelak.

Salah satunya adalah dengan memperkenalkan lagu temanya yang kini sudah pun dimainkan di radio-radio tempatan dan mula mendapat perhatian meluas.

Ini kerana lagu tema Cicak-Man 2 yang kini menjadi siulan bukanlah sembarangan lagu.

Judul Dibius Cinta diberi, buat pertama kalinya menyaksikan gandingan dua negara serumpun yang menghasilkan lagu yang begitu indah.

Mungkin ramai yang akan cuba membuat perbandingan lagu duet ini dengan lagu duet lain yang pernah dihasilkan oleh sang penciptanya, namun, Dibius Cinta berdiri dengan keunikan tersendiri lantas ia mampu menjadi antara lagu popular untuk tahun ini sebelum 2008 melabuhkan tirainya.

Lebih-lebih lagi apabila Cicak-Man 2 ditayangkan kelak, pastinya, impak yang terhasil menerusi lagu ini akan menjadi lebih hebat lagi sehingga ia mampu membius pendengar tempatan.

Gandingan pengarah Cicak-Man 2 iaitu Yusry Abdul Halim bersama komposer dan penyanyi tersohor Indonesia, Melly Goeslaw ternyata telah mencipta rekod tersendiri baik buat KRU Studios mahupun Melly sendiri.

Ini kerana inilah gandingan julung kalinya di antara Melly dan penyanyi tempatan yang ternyata membuka satu lembaran baru dalam industri hiburan tanah air.

Bukan mudah untuk membuka pintu hati Melly untuk berduet bersama penyanyi tempatan dan antara faktor yang membuatkannya tidak perlu berfikir panjang menerima tawaran untuk lagu duet ini adalah kerana dia sendiri peminat filem Cicak-Man.

Ini diakui sendiri oleh Melly saat tawaran itu ditawarkan kepadanya oleh penerbit filem Cicak-Man 2 iaitu Norman Abdul Halim ketika orang kuat KRU Studios itu berkunjung ke Jakarta tidak berapa lama dulu.

"Norman datang dan berjumpa dengan saya kerana mahukan saya menyumbang sebuah lagu untuk album runut bunyi Cicak-Man 2.

"Entah bagaimana, tiba-tiba idea kolaborasi itu timbul dan saya melihatnya sebagai satu perkara yang cukup positif.

"Saya fikir dan mengatakan kepada Norman, apa salahnya kalau dibuat lagu duet dan dengan itu, terhasillah Dibius Cinta.

"Ternyata, saya begitu senang sekali berkolaborasi bersama Yusry," jelas Melly dari Jakarta, Indonesia kepada Hits dalam satu perbualan telefon baru-baru ini.

Kata Melly yang mula mencipta nama di Malaysia lewat lagu Jika bersama Ari Lasso lewat tahun 1990-an, dia bersama suaminya, Anto Hoed tidak mengambil masa yang lama untuk menzahirkan Dibius Cinta.

"Saya hanya membaca sinopsis yang diberikan oleh Norman dan daripada situ, saya mencipta liriknya manakala suami saya menghasilkan komposisi muziknya.

"Kami hanya mengambil masa satu hari sahaja untuk menyiapkan lagu ini manakala proses pengadunan dan selebihnya, mengambil masa seminggu sahaja," kata Melly yang kini sibuk dengan promosi album terbarunya bersama kumpulan Potret.

Ketika ditanya tentang pengalaman kolaborasinya bersama Yusry, pencipta lagu Menghitung Hari dan Yang Kumau oleh Krisdayanti ini dengan jujurnya memberitahu, proses rakamannya berjalan dengan cukup lancar malah dia menganggap kolaborasi ini sebagai satu tanda aras baru dalam menggabungkan idea karyawan seni dari dua negara serumpun.

"Seandainya peluang ini diberikan kepada saya di masa hadapan, saya tidak teragak-agak untuk menerimanya tetapi selepas Dibius Cinta, saya belum memikirkan untuk berkolaborasi dengan mana-mana artis Malaysia buat masa ini," ujarnya yang juga cukup popular menerusi lagu Cinta bersama Krisdayanti.

Diminta pandangannya tentang keistimewaan lagu Dibius Cinta berbanding dengan lagu-lagu duetnya yang lain, wanita kelahiran Bandung, Indonesia ini berkata, dia tidak pernah memikirkan tentang perkara itu kerana apa yang penting baginya adalah semangatnya untuk terus berkarya.

"Saya sendiri tidak tahu di mana istimewanya lagu ini (ketawa) kerana apa yang saya lakukan adalah untuk terus menghasilkan lagu. Saya gembira kalau lagu itu diterima dengan baik dan ramai yang menggemarinya.

"Malah, apabila anda beritahu saya lagu Dibius Cinta kini semakin mendapat tempat di Malaysia, saya gembira sekali dan teruskan menyokong walau dimana jua," ujar Melly yang akan berkunjung ke Malaysia pada bulan November depan bagi mempromosikan Cicak-Man 2.

Bukan itu sahaja, malah Melly turut memberikan buah fikirannya untuk konsep muzik video Dibius Cinta apabila tampil persis White Witch iaitu salah satu watak yang ditampilkan dalam filem The Chronicles of Narnia: The Lion, the Witch and the Wardrobe.

"Sememangnya saya amat menggemari watak dan filem berkenaan. Walaupun saya perlu menempuh tempoh yang agak lama iaitu empat jam untuk tata rias dalam merealisasikan karakter ini, saya puas hati semuanya berjalan lancar," kata Melly yang turut mengenakan enam pasang rambut palsu dalam klip video itu.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
ARKIB : 14/10/2008

Untuk dapatkan lirik Dibius Cinta, sila klik Lirik Dibius Cinta

Dibius Cinta - Gandingan sulung Yusry & Melly @ Lirikami

0 Komen:

Catat Ulasan

 
◄Design by Lirikami