Home » » The Wanderers Dimensi Baru

The Wanderers Dimensi Baru

The Wanderers bukan nama baru dalam industri muzik tanah air, namun sudah bertapak sejak 1963 lagi dengan menampilkan ramai penyanyi veteran seperti J Sham, S Ahmad, S Rohani, M Daud, Datuk M Daud Kilau, Jeffrydin, A Halim, A Talip dan S Roha.

Namun kewujudannya sekarang tidak ramai yang menyedari memandangkan kumpulan yang dianggotai lima ahli ini hanya layak digelar penyanyi kampung oleh sesetengah masyarakat.

Walhal tanpa ramai yang menyedari, kumpulan ini masih lagi aktif berbanding kumpulan yang lahir seawal 80-an hingga 90-an namun sudah menutup buku disebabkan beberapa faktor terutama tiada keserasian antara kumpulan.

Sehingga kini kumpulan ini sudah menerbitkan 14 EP, 2 LP dan baru saja menyiapkan satu album digital.

Ketua kumpulannya, Abdul Latiff Hashim yang juga pemain bass kumpulan itu berkata, pelbagai halangan dan dugaan yang ditempuhi dalam proses menyiapkan album terbaru mereka.

“Kami mengalami banyak kesukaran semasa ingin menyiapkan album ini sehingga ia tertanggung beberapa tahun. Apa yang menyedihkan sedang kami sibuk menyediakan meterial, salah seorang anggota kami iaitu ketua kumpulan ini, Allahyarham Ramlee Hashim pergi meninggal kita.

“Selain itu kami juga mempunyai kesukaran untuk menerbitkan album ini memandangkan tidak ada langsung syarikat yang berminat untuk menaja kami,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Judul The Wanderers Dimensi Baru diterbitkan memandangkan beberapa karya Allahyarham masih tersimpan kemas selain permintaan orang lama yang masih mengikuti perkembangan mereka.

“Sebaik album ini selesai kami bercadang untuk mengedarkan sendiri album ini kerana tahu bahawa sukar untuk mencari pengedar. Alhamdulillah sehingga kini sudah 1,800 unit terjual.

“Namun kami juga merasa sedih pada peringkat permulaan meletakkan album ini di beberapa kedai. Memang diakui album ini sukar untuk dijual tetapi amat terkejut apabila ia mudah untuk didapati di pasar malam. Apabila kami kembali semula ke kedai didapati tiada satu unit pun terjual tetapi banyak pula di pasar malam,” katanya.

Justeru itu, dengan semangat dan keyakinan yang kental, The Wanderers yakin untuk meneruskan amanat Allahyarham agar kumpulan ini terus diingati oleh generasi baru.

“Kami bercadang untuk mengadakan majlis pelancaran album ini dalam masa terdekat dan masih mencari pengedar yang berminat untuk menjadi pengedar untuk album ini.

“Memandangkan The Wanderers yang dianggotai ahli yang sudah berumur, kami juga ingin mencari pelapis bagi mewarisi kumpulan ini,” katanya yang berterima kasih kepada komposer Salman dan penerbit album ini Nora.

Selain Abdul Latiff, kumpulan ini dianggotai A Kadir Jailani, 56 (penyanyi), Abdul Rahim Karim, 62 (gitar utama), Talha Idris, 57 (gitar), Yahya Tambi, 57 (drum) dan Mohd Rashid Ramlee, 48 (organ).

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kumpulan The Wanderers boleh menghubungi Abdul Latif di talian 016-2505321 atau 016-9572244.

The Wanderers Dimensi Baru @ Lirikami

0 Komen:

Catat Ulasan

 
◄Design by Lirikami