Home » » Filem Brainscan - Komedi untuk semua

Filem Brainscan - Komedi untuk semua

Barisan pelakon remaja yang membintangi Brainscan: Aku Dan Topi Ajaib, (dari kiri) Fatin Nur Afifah, Erin Malek, Nik Adruce dan Eric Fuzi.

Dalam usaha mengangkat martabat filem Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, Metrowealth (MIG) kini tampil dengan filem terbitannya yang ke-27 berunsur fiksyen komedi, Brainscan: Aku Dan Topi Ajaib (Brainscan).

Diarahkan oleh sutradara tersohor, Ahmad Idham filem kedua MIG yang menampilkan teknik CGI (imej janaan komputer) selepas Syukur 21 itu dikatakan bakal menarik minat bukan sahaja di kalangan kanak-kanak, malah seisi keluarga.

Mengangkat fantasi kanak-kanak serta elemen lucu yang berlaku dalam kehidupan seharian sesebuah keluarga ternyata memperlihatkan ‘kesegaran’ idea berbanding kebanyakan filem komedi yang pernah dihasilkan sebelum ini.

Tambah menarik, Brainscan berjaya melarikan tanggapan bahawa filem itu hanya sesuai ditonton oleh kanak-kanak apabila Ahmad Idham turut memaparkan elemen kekeluargaan yang diselitkan menerusi babak-babak lucu lakonan Zul Yahya dan Nik Sayyidah (Mek).

Ketika ditemui pada majlis pratonton filem tersebut di pawagam TGV Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, beliau mengakui kekuatan watak lakonan dua pelakon itu dalam memberi warna kepada keseluruhan penceritaan filem tersebut.

“Saya tidak nafikan, memang watak lakonan Zul dan Mek lebih menyerlah dalam filem ini. Bagi saya, dalam sesebuah komedi ia perlu ada keseimbangan. Kita tidak boleh menyajikan elemen komedi yang terlalu fokus kepada sesuatu watak sahaja, sebab ia boleh menyebabkan penonton berasa letih dan bosan.

“Untuk kanak-kanak, saya lebihkan unsur fantasi sebab saya tahu kanak-kanak memang tak boleh nak buat lawak. Sebab itu, saya cuba wujudkan komedi pada watak mak dan ayah yang dilakonkan oleh Zul dan Mek,” kata Idham.

Selain Zul Yahya dan Nik Sayyidah, pelakon lain yang menjayakan filem itu ialah Bob Kuman, Cat Farish, M. Rajoli, Sharifah Shahira, Khatijah Tan, Eric Fauzi dan Nassiruddin Nasir.

Brainscan juga dilakonkan oleh barisan pelakon sama yang pernah membintangi filem Tentang Bulan iaitu Nik Adruce, Erin Malek dan Fatin Nur Afifah.

Memakan masa dua tahun untuk disiapkan, Ahmad Idham pada majlis yang sama memberitahu kelewatan filem arahannya itu ke pawagam adalah disebabkan penggunaan teknik CGI yang mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan.

“CGI memang lambat nak disiapkan. Untuk 20 minit CGI dalam filem ini memakan masa lebih setahun kerana terdapat tiga CGI dalam filem ini iaitu babak pergaduhan antara watak Adruce dan Eric, pokok dan juga rama-rama.

“Saya dapati, filem ini memuatkan paparan CGI antara yang terbaik pernah saya arahkan sebelum ini. Dalam filem ini, apa yang penting dalam penggunaan CGI ialah ia mampu menyumbang kepada penceritaannya.

“Kalau hebat macam mana sekali pun CGI tetapi ia tidak mampu menyumbang kepada penceritaan sesebuah filem maka ia kurang bermakna juga,” katanya.

Bercerita tentang barisan pelakon Tentang Bulan yang membintangi filem tersebut, kata Ahmad Idham, dia terlebih dahulu memahami karakter dan kebolehan para pelakon terbabit.

“Saya tidak ada masalah dengan mereka sebab saya tahu kemampuan mereka sejak membintangi Tentang Bulan lagi.

“Mereka ini sekarang sudah semakin matang dan saya sudah tahu di mana tahap kebolehan mereka.

“Kalau filem ini mendapat sambutan, saya akan buat filem pengembaraan lain pula selepas ini,” ujarnya lagi.

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

Filem Brainscan - Komedi untuk semua @ Lirikami

0 Komen:

Catat Ulasan

 
◄Design by Lirikami