Home » » Filem Los Dan Faun

Filem Los Dan Faun


FILEM: Los Dan Faun
PENGARAH: Afdlin Shauki
PELAKON: Adlin Aman Ramlie, Han Isaac, Afdlin Shauki, Erra Fazira, AC Mizal, Ida Nerina, Khir Rahman, Stephen Rahman Hughes
GENRE: Komedi/Aksi
TARIKH TAYANG: 4 Disember 2008

Sudah lama rasanya tidak menonton sebuah filem Melayu yang membuatkan kita ketawa sepanjang filem itu berputar di pawagam. Kalau ada pun mungkin filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang sudah beribu-ribu kali ditayangkan di kaca TV. Namun, penantian itu bagaikan berakhir apabila muncul sebuah filem yang diarahkan oleh sutradara kreatif lagi inovatif, Afdlin Shauki berjudul Los dan Faun.

Terhibur rasanya melihat filem yang berkisar kepada kehidupan dua penyiasat terkenal, Ahmad Faun Sulaiman (Faun) dan Carlos Rodrigo Gunting (Los) yang ditugaskan untuk menjejaki sebuah jam tangan bernilai RM40 juta milik seorang janda kaya, Jasmin (yang baru kematian suaminya, Tuan Soffaruddin). Sepanjang penyiasatannya itu, mereka melalui pelbagai peristiwa melucukan sehingga membawa kepada terbongkarnya sebuah rahsia.

Di tangan Afdlin, filem ini bergerak dengan cukup sempurna. Menggunakan formula yang popular di luar negara iaitu kisah penyiasatan dalam bentuk komedi ala-ala Sherlock Holmes, kejayaan filem ini juga turut disumbang oleh pemilihan pelakon yang memahami kehendak si pengarah.

Justeru tidak hairanlah andai kebanyakan pelakon yang membintangi filem ini terdiri daripada kawan baik Afdlin sendiri. Mungkin keserasian yang mereka miliki menyebabkan setiap pelakon tahu apa tanggungjawab mereka dan berupaya untuk menggerakkan watak mereka dengan berkesan.

Bukan saja untuk watak utama tetapi watak sampingan juga ditekankan Afdlin kerana baginya mereka tetap mempunyai tanggungjawab berat walaupun ada karakter yang hanya terbabit dalam beberapa babak.Dalam filem ini , Afdlin turut membawakan watak sebagai Tuan Soffaruddin yang hanya muncul dalam beberapa adegan saja.

Tidak dinafikan, gandingan Hans Isaac dan Adlin Aman Ramlie memang padan. Ada saja lawak mereka yang menggelikan hati penonton. Bukan saja dari segi dialog, malah perwatakan mereka serta fizikal mereka yang dibentuk pengarah dalam filem ini juga sudah mampu membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak.

Begitu juga dengan lakonan Ida Nerina sebagai Serina, wanita GRO yang juga mempunyai kemahiran bermain silap mata. Memang melucukan apatah lagi dengan suaranya yang sedikit mengada-ngada itu. Ida sekali lagi menunjukkan kecemerlangan lakonannya walaupun watak Serina itu hanyalah kacang buatnya berbanding filem lakonannya sebelum ini.

Bagi mereka yang sudah biasa dengan karya Afdlin, pasti merasakan betapa komedi dalam filem ini sedikit berbeza dan nampak jujur serta semula jadi tanpa dibuat-buat. Olahan dan plot cerita Los dan Faun tersusun dan kemas. Syabas diucapkan kepada penulis skrip filem ini iaitu isteri Afdlin sendiri, Christina Orow.

Los dan Faun kembali mengangkat nama Afdlin sebagai pengarah versatil. Tak rugi mengeluarkan RM10 untuk menyaksikan filem ini di pawagam kerana anda bukan saja mendapat hiburan, malah secara tak langsung turut berperanan dalam menyokong karya pengarah tempatan yang berkaliber.

~ Berita Harian

Filem Los Dan Faun @ Lirikami

0 Komen:

Catat Ulasan

 
◄Design by Lirikami