Home » » Kereta Lan Pet-Pet kena pecah

Kereta Lan Pet-Pet kena pecah

“Saya simpan wang kertas RM20 pemberian ibu bapa sejak lebih 13 tahun lalu sebelum bergelar artis lagi dan cukup terkilan dengan kehilangannya.

“Malah, tasbih yang dihadiahkan seorang tidak dikenali ketika mengerjakan umrah beberapa tahun lalu juga lesap bersama wang 1,500 Riyal (RM1,386).”

Itu keluhan pelakon komedi, Mazlan Ahmad, 39, atau Lan Pet Pet apabila beg mengandungi barangan paling disayanginya dilarikan pencuri yang memecah masuk kereta Proton Perdana V6 miliknya di sini, awal pagi semalam.

Pencuri memecahkan cermin kiri sebelah penumpang keretanya yang diletak di luar rumah mentuanya di Taman Mawar PKNK di sini.

“Saya dan keluarga hanya menyedari kejadian itu kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam) selepas dimaklumkan seorang jiran.

“Mungkin disebabkan terlalu letih, saya langsung tidak menyedari atau mendengar bunyi cermin kereta dipecahkan. Sebaik dimaklumkan, saya bergegas ke kereta dan dapati cermin kiri sebelah penumpang pecah,” katanya yang ditemui di sebuah bengkel kereta di sini.

Dia mendapati beg menyimpan pelbagai koleksi peribadi lesap

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku antara jam 5.30 pagi hingga 7 pagi kerana dia tiba di rumah mentuanya kira-kira 30 minit sebelum itu selepas menjalani penggambaran sekitar Kedah dan Perlis.

“Duit boleh dicari, tetapi macam mana dengan barangan peribadi saya itu. Nilai sentimentalnya terlalu tinggi buat saya.

“Setiap barang itu mengingatkan asal usul saya supaya tidak mudah hanyut dan lupa diri, budak kampung katakan,” katanya.

Mazlan berkata, beg itu juga mengandungi lesen basikal tahun 1988 dan surah Yasin selain telefon bimbit Nokia 6600.

Dia menganggarkan kerugian mencecah RM3,000, termasuk kos memperbaiki cermin kereta itu.

“Ini kali pertama saya ditimpa kejadian seumpama ini. Saya mengesyaki ia mungkin perbuatan penagih dadah yang berkeliaran di kawasan perumahan,” katanya.

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Kereta Lan Pet-Pet kena pecah @ Lirikami

0 Komen:

Catat Ulasan

 
◄Design by Lirikami