Home » » Mazlin tak kisah status Fareez

Mazlin tak kisah status Fareez


Perkahwinan yang dibina bukan sekadar menyatukan dua insan yang bergelar suami dan isteri saja, sebaliknya membabitkan hubungan keluarga kedua-dua belah pihak.

Bagi penyanyi era 80-an, Fareez, 45, atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Mohd Tajuddin yang baru saja mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya, Mazlin Abdul Samad, statusnya sebagai duda membuatkannya begitu teliti dalam memilih pasangan hidup.

Kata Fareez yang juga bekas suami kepada penyanyi lagu etnik kreatif terkenal, Noraniza Idris, dia mula berkenalan dengan isteri barunya itu kira-kira setahun lalu di KLCC dan ia bukanlah dirancang kerana mereka sebenarnya mempunyai rakan yang sama untuk berbincang suatu perkara.

Mengimbas detik indah perkenalan itu, Fareez berkata, bukan mudah untuk dia mendekati Mazlin. Menurutnya, Mazlin juga enggan memberikan nombor telefonnya sehingga dia nekad mencarinya sendiri.

"Apabila sudah dapat, saya hubungi dia dan Mazlin memang terkejut. Saya terus menyatakan hasrat untuk mengenalinya dengan lebih rapat dan andai ada jodoh ingin menyuntingnya sebagai isteri. Justeru, dia meminta saya memberitahu bapa mengenai hasrat saya itu.

"Kali pertama bertandang ke rumahnya, saya berjumpa dengan ibu bapanya serta menyatakan hasrat murni itu dan saya bersyukur kerana mereka menerima saya dengan baik," katanya ketika ditemui pada majlis kesyukuran sebelah pengantin lelaki di kediamannya di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur, kelmarin.

Kata Fareez, 45, tempoh itu sudah cukup untuknya mengenali Mazlin dan menyunting gadis itu sebagai suri hidupnya. Akuinya lagi, apa yang menyebabkan dia terpikat dengan Mazlin sukar dijelaskan tetapi dia tahu si gadis mempunyai ciri-ciri gadis idamannya.

"Sebaik mendapat persetujuan daripada Mazlin, saya membawanya berjumpa dengan kedua-dua anak saya Mohamad Aliff Haiqal, 19, dan Mohd Alfeeq Haikal, 15. Mereka juga memberi 'lampu hijau' untuk berkahwin dengan Mazlin. Bahkan, mereka (anak) menerimanya dengan baik termasuk restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak.

"Sejak awal perkenalan lagi, saya beritahu Mazlin mengenai status saya ini dan dia menerimanya dengan baik. Memang hanya saya dan dia yang berkahwin sebagai suami isteri. Bagaimanapun, dengan status saya sekarang, dia juga perlu menerima dua anak saya dan nampaknya mereka saling menerima antara satu sama lain," katanya.

Menyingkap perkahwinan mereka, Fareez dan Mazlin berkahwin di Masjid Al-Amaniah, Kepong, Kuala Lumpur pada 19 Disember lalu dengan mas kahwin RM80 dan hantaran RM12,000 dengan tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki serta berbalas 11 dulang daripada pihak perempuan.



Majlis persandingan sebelah pihak perempuan diadakan Sabtu lalu di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong dan bagi pihak lelaki pula diadakan di rumah keluarganya di Bandar Tun Razak, Cheras pada Ahad lalu.

Beberapa rakan artis seperti Nash, Den Wahab, Kairel Khamis dan Ayati Tasrip turut hadir meraikan Fareez di majlis kesyukuran sebelah lelaki. Walaupun tidak bersanding dan hanya beramah-mesra dengan tetamu, Fareez dan Mazlin tetap ceria melayan keluarga dan rakan dengan mengenakan pakaian sedondon serba putih.

Ketika ditanya, sama ada dia mengundang bekas isterinya ke majlis perkahwinan itu, Fareez berkata, dia mengambil pepatah orang lama, barang yang lepas, jangan dikenang.

Sementara itu, Mazlin berkata, sejak awal berkenalan dengan Farezz dia memang tahu status dan cerita Fareez. Katanya, sebaik disunting sebagai suri hidup Fareez, dia mendapatkan pandangan dan persetujuan keluarga kedua-dua pihak.

"Ternyata keluarga kami bersetuju dan menyerahkan hal jodoh pada kami. Malah kedua-dua anak suami pun dapat menerima saya dengan baik dan mereka memanggil saya Umi.

"Fareez juga ikhlas ingin berkawan dengan saya. Sebab itulah kali pertama datang ke rumah, dia terus berjumpa ibu bapa saya menyatakan hasratnya. Dari situ, nampak kesungguhannya sehinggakan dia sanggup berusaha mencari nombor telefon saya," katanya yang berkerja di firma guaman.

Mengenai destinasi bulan madu, Mazlin berkata, mereka belum merancang untuk bercuti ke mana-mana destinasi setakat ini. Sebaliknya menganggap setiap hari yang dilalui mereka kini adalah saat indah seperti bulan madu.


Mazlin tak kisah status Fareez @ Lirikami

0 Komen:

Catat Ulasan

 
◄Design by Lirikami