Home » » Que Haidar, Linda Jasmine bakal naik pelamin

Que Haidar, Linda Jasmine bakal naik pelamin

Selepas berdiam diri mengenai status hubungannya dengan pereka tari profesional, Linda Jasmine Hashim atau Linda, aktor kacak, Que Haidar akhirnya mengakui akan mempersunting personaliti jelita itu sebagai teman hidupnya, 14 Februari tahun depan.

Pendedahan lanjut mengenai perkara itu akan dibuatnya ketika tampil dalam rancangan Gala TV di Astro Awani (Saluran 501), jam 10 malam ini.

Que atau Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 29, ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan perancangannya mempersunting Linda, 36, sebagai teman hidup pada tarikh itu.

Apabila ditanya lebih lanjut mengenainya, Que sambil ketawa berkata tunggu sajalah malam ini.

Bagaimanapun, selepas dipujuk Que memberitahu dia tidak pernah merancang membuat penjelasan itu.

Namun, katanya, mungkin kini masa sesuai untuknya menguar-uarkan hubungan dengan Linda kepada umum.

“Mengenai tarikh 14 Februari, itulah yang dirancang. Tetapi, Insya-Allah kalau diizinkan dan ada jodoh tidak ke mana. Apapun, memang saya akui Linda adalah wanita itu. Sebelum ini, kalau ditanya saya pun tidak pernah menidak atau merahsiakannya.

“Cuma, saya tak membuka mulut memberi penjelasan. Namun, seperti yang saya katakan, inilah masanya untuk menjelaskan segalanya. Justeru, untuk mengetahui secara lanjut kenalah tunggu esok (hari ini) saja. Saya akan bercerita,” katanya.

Que yang dihubungi memaklumkan dia baru selesai menjayakan program The Making Of... Maut, filem terbaru lakonannya yang dijangka menemui penonton di pawagam awal tahun depan. Filem itu arahan Bade Azmi.

Sementara itu, Linda yang dihubungi Harian Metro, tanpa berselindung mengakui Que akan tampil dalam rancangan Gala TV.

Katanya, memang Que merancang memilih tarikh 14 Februari sebagai tarikh bersejarah mereka.

“Tarikh itu hanyalah rancangan dan Insya-Allah jadi kalau semuanya berjalan lancar. Apapun, penjelasan ini bertujuan menghuraikan segala salah faham orang terhadap hubungan kami. Terus-terang, kami tidak pernah menyembunyikan apa-apa.

“Tiada apa yang cuba disorokkan, tapi tiada sebarang komen dibuat sebelum ini kerana buat apa hendak cakap soal peribadi lebih-lebih.

“Biarlah perihal karier kami lebih diketahui umum,” katanya menegaskan dia dan Que tidak cuba berahsia.

Menurut ibu tunggal kepada seorang anak, Qalif Khan, 8, itu lagi, kalau benarlah mereka menyorokkan hubungan yang terjalin, buat apa mereka keluar bersama di khalayak umum.

Gosip cinta Que dan koreografer jelita itu tersebar di Internet sejak beberapa bulan lalu. Mereka dikatakan hangat berkasih dan dilihat keluar bersama di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur. Linda juga dikatakan mengikut Que balik ke kampungnya pada Aidilfitri lalu.

Que Haidar, Linda Jasmine bakal naik pelamin @ Lirikami

 
◄Design by Lirikami