Home » » Sari Yanti bakal berkahwin

Sari Yanti bakal berkahwin


Usia perkenalan yang agak lama, membuatkan hati merpati dua sejoli ini semakin lama semakin terpaut. Tambahan pula, lelaki yang bakal menjadi pelindung si comel ini merupakan kenalan keluarga sejak sekian lama.

Menginjak ke usia 24 tahun bagi pelakon drama bersiri Kisah Kaisara, Sari Yanti, keputusannya untuk menamatkan zaman bujang pada usia yang agak muda merupakan tindakan terbaik buat dirinya.

Memilih 16 Januari ini sebagai tarikh pernikahan dengan jejak pilihan hati, Mohd. Eddy Casmady Che Hussin, 28, sebelum diikuti majlis persandingan pada keesokan harinya.

“Saya tak menyesal berkahwin muda kerana sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri. Kalau kita ambil masa lagi lama pun sama juga, lambat laun saya akan menempuh juga perkara itu.

“Jadi setelah memikirkan sedalam-dalamnya, akhirnya kami mencapai kata sepakat untuk hidup bersama,” kata pelakon berasal dari Kuala Pilih, Negeri Sembilan ini.

Menyambung perbualan, kata gadis yang dilahirkan pada 9 November 1984 ini, sikap bertanggungjawab dan terbuka membuatkan dia jatuh cinta pada Eddy.

“Sepanjang kami berkawan, saya dapati dia sangat memahami dan tak pernah menghalang minat saya.

“Dia banyak membantu menyokong dan memberi nasihat kepada ketika saya memerlukan kehadirannya. Saya sentiasa senang bersama dia,” katanya bercerita mengenai bakal suaminya itu.

Jelas pemilik nama sebenar, Sari Yanti Mohamad Nazari ini, perbezaan usia empat tahun antara mereka berdua sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada hubungan mereka.

“Dia lebih matang dan boleh membantu saya dalam banyak perkara. Ini sudah tentu memudahkan lagi hubungan kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, ramai juga terkejut setelah mengetahui gadis comel ini ingin mendirikan rumah tangga. Ini kerana sebelum ini dia tidak pernah dihambat gosip percintaan seperti rakan artis yang lain.

Sambil ketawa kecil kata Sari; “Mengapa saya perlu menghebohkan kisah cinta saya. Bagi saya percintaan adalah hak peribadi dan tak perlu dikongsi dengan semua orang. Sebab itu, apabila saya mengumumkan mahu berkahwin ramai wartawan yang terkejut.”

Tidak takut hilang populariti

Mungkin bagi sesetengah artis, mendirikan rumah tangga pada usia muda bakal menyebabkan mereka kehilangan satu nikmat yang amat berharga iaitu populariti.

Namun, bagi Sari semua itu tidak penting, dan berkongsi hidup dengan insan tersayang lebih memberi makna kepada dirinya.

”Saya berlakon kerana minat dan bukan kerana populariti. Jadi saya tak kisah sekiranya populariti hilang dan sebagainya. Saya pun manusia biasa yang memerlukan teman untuk bersama ketika susah dan senang,” jelas model iklan Palmolive, Maxis, Kotex dan Sunsilk ini.

Tambah Sari, masyarakat kini semakin memahami dan boleh menerima seseorang artis itu meskipun sudah berkahwin.

“Saya percaya masyarakat kita sekarang semakin bijak, mereka bukan lagi minat artis kerana cantik dan solo. Tapi mereka meminati artis itu kerana bakat yang ada pada artis tersebut,” katanya lagi.

Cerita perkahwinan

Pemenang CLEO’s Cover Girl Search 2005 ini juga mengakui majlis perkahwinannya nanti tidak diadakan secara besar-besaran, memadailah sekadar sederhana.

Enggan berlebih-lebihan serta membazir kata Sari; “Saya buat biasa sahaja dan taklah besar sangat. Cukup untuk saudara mara dan rakan taulan datang sudah memadai.”

Bercerita lanjut mengenai cahaya mata yang ingin dimiliki sambil tersenyum manis kata Sari: “Saya tak fikir nak anak berapa, saya terima seadanya. Kalau selepas kahwin terus dapat anak lagi bagus”.

Sama seperti pasangan yang lain, Sari juga mengimpikan untuk berbulan madu di pulau-pulau peranginan.

“Saya suka pulau sebab ia mendamaikan dan berharap sangat dapat berbulan madu di pulau. Tapi kami masing-masing sibuk jadi belum terfikir lagi pulau mana yang jadi pilihan,” katanya.

~ Utusan

Sari Yanti bakal berkahwin @ Lirikami

0 Komen:

Catat Ulasan

 
◄Design by Lirikami