Home » » Sekuel Cicak-Man 2 sarat aksi

Sekuel Cicak-Man 2 sarat aksi

Judul: CicakMan 2 - Planet Hitam
Pengarah: Yusry KRU
Pelakon: Saiful Apek, Aznil Nawawi, AC Mizal, Adlin Aman Ramli, Sharifah Amani, Tamara Blezensky dan Louisa Chong
Genre: Aksi/Komedi
Tarikh tayangan: 11 Disember 2008

Kutipan sebanyak RM6.7 juta yang diraih filem Cicak-Man ketika ditayangkan dua tahun lalu memberi dorongan buat KRU Studios membuat sekuel kepada filem itu. Dan selepas setahun lebih bertungkus lumus akhirnya filem arahan Yusry Abdul Halim kembali menemui khalayak mulai Khamis lalu.

Masih mengekalkan watak Cicak-Man sebagai hero utama namun untuk watak penjahat, Cicak-Man perlu berdepan dengan seorang lagi penjahat bernama Rrama lakonan Tamara Blezensky selain musuh tradisi Cicak-Man, Profesor Klon lakonan Aznil Nawawi.

Jika sebelum ini Cicak-Man perlu berdepan dengan niat jahat Profesor Klon yang ingin menguasai kota Metrofulus, namun untuk sekuel ini, watak superhero itu juga terpaksa menghalang niat jahat musuhnya itu yang ingin menghapuskan dunia dengan mencemarkan sumber air selain perlu bertarung dengan Rrama yang juga sekutu kepada Profesor Klon.

Bukan mudah untuk membuat sekuel kepada filem yang pernah mencatat kejayaan pecah panggung. Iyalah, tentunya penonton mengharapkan sesuatu yang lebih baik dari yang sebelumnya. Justeru tidak hairanlah andai Yusry perlu mencipta watak Rrama supaya filem kedua ini mempunyai kelainan yang tersendiri.


Belajar dari pengalaman lalu, Cicak-Man kali ini lebih banyak mempertaruhkan adegan aksi. Dalam satu temu bual sebelum ini, Yusry berkata keputusan untuk membanyakkan adegan aksi adalah kerana penonton tidak mahu melihat superhero kesayangan mereka ini terlalu banyak mempamerkan aksi komedi.

Lalu, tidak hairanlah andai pelbagai adegan pertarungan dapat disaksikan dalam filem ini termasuk menggunakan kaedah Imej Janaan Berkomputer (CGI) semata-mata untuk menghidupkan lagi babak itu. Tamara sebagai Rrama dilihat sebagai pilihan tepat biarpun sebelum ini ada ura-ura yang mahu mengambil pelakon jelita Erra Fazira untuk memegang watak itu.

Belumpun ditayangkan di Malaysia, filem ini juga sudah mendapat perhatian daripada penggiat filem antarabangsa selepas menyertai Festival Filem Antarabangsa di Pusan, Korea Selatan Oktober lalu. Malah Cicak-Man 2 juga disebut-sebut sebagai filem adiwira generasi baru yang sebaris filem superhero terkenal seperti Superman, Spiderman, Ultraman dan Batman.

Begitulah hebatnya penangan filem yang kalau hendak dibandingkan bajet pembikinannya dengan filem yang disebutkan tadi, bezanya bagai langit dengan bumi.Bangga juga apabila karya anak tempatan mendapat pujian dari karyawan luar negara. Pun begitu, biar pun terdapat kekangan seperti kos penerbitan yang agak terhad namun nilai kreativiti yang ditunjukkan Yusri serta team produksi CicakMan 2 wajar dipuji kerana mereka masih mampu menghasilkan karya yang bagus.

Berdasarkan kepada kejayaan filem ini dua tahun lalu ditambah elemen aksi yang mendebarkan serta faktor tayangan pada musim cuti sekolah, tidak mustahil filem ini sekali lagi bakal memecahkan carta pecah panggung. Dan menurut Yusry, jika filem ini sekali lagi berjaya mencetuskan fenomena, tidak mustahil trilogi untuk filem ini akan menyusul tidak lama lagi.

Dan jika formula ini berjaya, nampaknya hasrat KRU Studios untuk melihat seramai sejuta penonton menyaksikan filem ini mungkin akan tercapai juga satu hari nanti.


Oleh Farihad Shalla Mahmud

Sekuel Cicak-Man 2 sarat aksi @ Lirikami

0 Komen:

Catat Ulasan

 
◄Design by Lirikami