Home » » Wan Norazlin mohon ruang perbetul kesilapan

Wan Norazlin mohon ruang perbetul kesilapan


Cuma satu pinta Wan Norazlin Wan Mohd Husain ketika ini, moga dia terus diberi ruang untuk meneruskan langkah sebagai anak seni tanpa perlu ada sekatan atau kekangan.

Sejak kembali aktif selepas beberapa tahun menyepi, hanya beberapa penerbit yang berani menghulurkan tawaran namun kebanyakannya cuma memberikan menawarkan peranan kecil atau sampingan.

Pernah sekali dia ditawarkan watak utama untuk sebuah drama bersiri 26 episod siaran RTM malangnya digugurkan hanya kerana namanya dipilih untuk menggalas tanggungjawab besar itu.

“Saya keliru kenapa mesti ada arahan seperti itu? Sehingga sekarang saya tidak pernah menerima hitam putih daripada mana-mana pihak mengenai kedudukan saya sebagai pelakon.

“Jika benar saya digam, untuk tempoh berapa lama? Perlu ada tempoh penggantungan itu kerana sampai sekarang saya tertanya-tanya sendiri apa dan di mana kedudukan saya?

“Saya perlukan jawapan kerana saya terpaksa keluar bekerja mencari wang untuk menyara kehidupan. Apa lagi yang mampu saya lakukan kecuali berlakon kerana di sini bakat saya,” katanya.

Ditemui pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman Konsortium Stars2U bersama syarikat Uptrend Network Sdn Bhd serta pelancaran produk, Herbavescent, baru-baru ini, luahan hati Wan Norazlin itu bukan bertujuan mencari simpati.

Apa yang dilakukannya ini umpama mencari dahan kukuh untuk terus berpaut selepas suaminya, Mohd Yazli Yaacob kembali menghilangkan diri tanpa khabar berita.

“Saya terpaksa bergantung kepada tawaran lakonan untuk meneruskan hidup. Ketika masih sihat dan mampu untuk keluar berkerja, saya perlu berusaha kerana tanggungjawab membesarkan anak-anak kini tergalas di bahu saya.

“Saya sendiri sudah tidak lagi memandang ke belakang, jadi mengapa perlu diingat apa yang sudah berlaku dulu? Saya mahu terus melangkah, justeru berikan saya ruang untuk mengubah kehidupan,” katanya.

Dalam kekalutan berdepan pelbagai ujian Tuhan yang tidak pernah berhenti hadir menguji kekuatannya, Wan Norazlin bersyukur, masih ada pihak yang berhati mulia.

Nama seperti Sheila Rusly dan Mat Nor Bujang terus memberikannya kata semangat serta sokongan untuk dia menyusun semula kehidupannya.

Biarpun diberikan peranan sampingan untuk produksi terbitan mereka, ibu tiga anak iaitu Daniel Luqman, 8; Danny Iskandar, 7, dan Dania Camelia, 4 tahun tidak berkecil hati.

Itu katanya, memadai sebagai permulaan untuk dia kembali melangkah dalam dunia lakonan.

“Cuma mungkin lebih baik jika saya diberikan peluang untuk membawakan watak utama. Bayaran pun lebih besar. Bagaimanapun, saya sangat berterima kasih kepada teman lama yang banyak membantu ketika saya berdepan masalah besar dalam kehidupan.

“Begitu juga dengan Persatuan Karyawan yang diketuai Freddie Fernandez. Keprihatinannya dengan menghantar surat kepada Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk menyelesaikan isu itu.

“Saya berharap dengan adanya penjelasan tepat daripada kementerian, pihak penerbit tidak lagi menyimpan keraguan untuk mendapatkan khidmat saya dalam produksi mereka,” katanya.

Wan Norazlin berkata, dia terharu apabila terpilih untuk menyertai Konsortium Stars2u yang dicetuskan Datuk Aziz Bakar bersama 15 artis terkenal lain yang ditubuhkan untuk membina kecemerlangan ekonomi penggiat seni serta pencintanya.

Penubuhan konsortium itu katanya, memberi peluang kepada mereka untuk membina jaringan perniagaan pintar bersama peminat selain menyediakan platform menjadi usahawan berjaya.

Perceraian bukan penyelesaian


TANGGAL 15 Disember ini, Wan Norazlin akan kembali ke Mahkamah Syariah untuk sebutan pertama majlis sulh (perundingan) bagi menyelesaikan kes tuntutan nafkah terhadap suaminya.

Barangkali ada yang menyimpan tanggapan salah dan menyangka dia naik turun mahkamah untuk memohon perceraian sedangkan kata Wan Norazlin, perkara itu tidak pernah terlintas dalam benak fikirannya.

“Saya ke mahkamah untuk meminta suami supaya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai bapa dan ketua keluarga. Saya mohon dia melengkapkan tanggungjawab zahir dan batin bukan kerana dorongan nafsu semata-mata.

“Sebaliknya saya mahu mencari kembali kasih sayang yang selama ini dia abaikan terhadap anak-anak dan saya. Semua yang saya lakukan ini bukan mengikut emosi, tetapi selepas berfikir panjang mencari apa yang terbaik untuk kami bersama.

“Saya tidak menuntut cerai kerana perceraian bukan penyelesaian untuk segala masalah ini. Saya cuma mahu dia bertanggungjawab dan menjadi ketua keluarga yang baik.

“Saya masih sayangkan dia kerana dia suami saya. Tidak tahu kenapa dia berubah dan melupakan peranan ketika kami memerlukan kehadirannya.

“Selagi masih ada ikatan, saya berharap dia tidak akan lupa tanggungjawabnya kepada kami semua,” katanya.

Akui Wan Norazlin, antara mereka berdua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan namun apa yang penting kini, adalah mencari titik persefahaman untuk membina semula keluarga demi anak-anak.

“Ketika berselisih faham, saya sering tekankan supaya dia memikirkan mengenai anak-anak yang perlukan perhatian kami berdua. Lagipun sekarang saya sudah kembali bekerja, jadi saya perlukan sokongan suami untuk mengawasi anak-anak.

“Ada kalanya saya jadi tidak senang apabila di lokasi memikirkan anak-anak yang ditinggalkan bersama datuk mereka. Bapa sudah tua membuatkan saya rasa bersalah kerana terpaksa menyusahkan dia.

“Untuk menggaji pembantu rumah, saya tidak mampu. Wang yang ada terpaksa saya jimat untuk menyelesaikan mana-mana urusan yang lebih penting,” katanya.

Wan Norazlin mohon ruang perbetul kesilapan @ Lirikami

0 Komen:

Catat Ulasan

 
◄Design by Lirikami