Home » » Gambar Engku Aleesya - Anak Erra Fazira

Gambar Engku Aleesya - Anak Erra Fazira

Tidak perlu lagi meneka bagaimana rupa paras puteri sulung bintang filem Melayu, Erra Fazira apakah dia secantik ibunya atau mewarisi ketampanan bapanya, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Seperti dijanjikan ketika melahirkan Engku Aleesya pada 30 Mac lalu untuk mendedahkan wajah puterinya serentak kepada semua media cetak dan elektronik, Sabtu lalu (23 Mei) Erra mengotakan janjinya.

Menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), Erra dan Emran menghantar undangan ke majlis aqiqah dan cukur jambul Aleesya kepada semua teman media, sekali gus mendedahkan wajah bayi comel mereka buat pertama kalinya kepada umum.

Engku Aleesya
Sekali lagi pasangan itu memilih Restoran Puteri, Sungai Penchala, tempat di mana mereka diijabkabulkan hampir dua tahun lalu untuk upacara berkenaan. Memilih konsep merah jambu dan putih, majlis cukur jambul itu dihias cantik hasil sentuhan Lynda Rahim, manakala gaun Aleesya, kek cawan serta cenderahati untuk tetamu pula ditaja Cradle 'N' All.

Sebaik kaki melangkah meniti tangga restoran yang cerun, wajah comel Aleesya terpampang di sebuah bingkai gambar besar menyambut ketibaan tetamu. Di depan pintu restoran, dua buah lagi bingkai di letakkan di kiri dan kanan. Kali ini, Aleesya berada disamping ayah dan ibunya.

Dari luar lagi sudah terserlah kemeriahan majlis, apabila menaiki ruang atas restoran, sebuah singgah sana yang cukup indah dihiasi bungaan segar rona merah jambu dan ungu tersergam menyambut kehadiran undangan. Malah sempat Erra membisikkan kepada Emran, singgahsana buat cahaya mata mereka lebih 'gah' berbanding majlis mereka dulu.

Sebelum wajah Aleesya didedahkan, majlis terlebih dulu dimulakan dengan upacara pembacaan doa dan puji-pujian ke atas junjungan-Nya oleh kumpulan marhaban Sautul Ijtihad. Apabila marhaban hampir bermula, Erra yang kelihatan menawan dengan jubah dari rona merah jambu mendukung si kecil yang menjadi bualan hangat itu memasuki buaian yang turut dihias cantik.

Pancaran cahaya kamera tidak henti-henti memancar Erra dan bayinya ketika kakinya melangkah untuk ke buaian, masing-masing tidak mahu terlepas merakamkan gambar terbaik puteri kesayangan Erra dan Emran itu.

Seakan mengetahui status ibunya sebagai 'public figure', si kecil itu tidak langsung meragam. Malah acara sidang media langsung tidak terganggu oleh rengekan Aleesya.
ANAK kecil ini tidak banyak meragam sepanjang acara diadakan.

Bercerita mengenai persiapan majlis itu, kata Erra dia menerima tawaran daripada Lynda Rahim dan Cradle 'N' All sejak Aleesya masih berada dalam kandungan lagi. Selepas persetujuan antara ketiga-tiga pihak, barulah konsep majlis itu dirancang.

Seronok bergelar ibu

Erra yang bakal kembali beraksi di depan kamera bermula 25 Jun ini setelah hampir enam bulan bercuti tampak cukup gembira dengan kehadiran cahaya mata yang menjadi pelengkap rumah tangga dan pengikat kasih sayang antaranya dan Emran.

Katanya, banyak pelajaran baru diterokai setelah hampir 60 hari bergelar ibu. Sebulan pertama, dia mengakui kejanggalannya tetapi kini dia semakin seronok meniti episod baru dalam hidupnya.

"Kini baru saya tahu betapa beratnya tugas seorang ibu. Melayan dia seorang saja tidak cukup masa dibuatnya. Tak dinafikan tugas ibu itu memenatkan tetapi dalam waktu yang sama seronok dengan telatahnya.

"Pada bulan pertama memang susah juga terutamanya bila dia meragam. Walaupun sudah diberi susu dia masih menangis, kadang-kadang kita tidak tahu sama ada dia lapar ataupun dia sakit perut tetapi mungkin juga saya belum tahu lagi selok belok menjaga bayi. Alhamdulillah memasuki dua bulan saya sudah pun dapat menangani.

"Memandangkan saya akan mula bekerja tidak lama lagi, Aleesya akan dijaga secara bergilir-gilir oleh ibu saya dan ibu mentua. Kalau diikutkan berat juga hati hendak meninggalkan dia tetapi saya terpaksa juga lakukannya kerana kerja. Saya perlu melunaskan tanggungjawab dengan Astro yang sudah tertangguh lama," katanya.

Erra juga berkata, oleh kerana Aleesya masih menyusu badan mungkin anaknya terpaksa dibawa ke set untuk disusukan. Namun, Erra tidak menggalakkan Aleesya terlalu kerap berada di luar. Dia juga seboleh mungkin mengelakkan bekerja di luar Kuala Lumpur melainkan jika terpaksa.

Disebabkan bayinya masih menyusu juga, Erra masih belum dapat memulakan sesi dietnya bagi memberikan pemakanan seimbang kepada bayinya itu. Bagaimanapun dia akan memulakan usaha menurunkan lagi berat badan apabila memasuki bulan kedua dengan menjalani rawatan menguruskan badan dan memasuki gym.

Sementara itu, Engku Emran pula berkata, pengalaman bergelar bapa adalah satu pengalaman yang cukup indah. Aleesya bukan setakat mengajarnya malah banyak menyedarkannya.

"Dia mengajar saya erti kesabaran dan membuang sikap mementingkan diri. Alhamdulillah Aleesya banyak menyedarkan saya, pengalaman itu tentunya tidak dapat ditukar ganti," kata Emran yang berhasrat menghantar Aleesya ke sekolah Cina apabila puteri sulungnya memasuki tahun satu kerana mahukan Aleesya menguasai lebih daripada dua bahasa.

Ketika ditanya, siapakah yang lebih banyak menjaga Aleesya apakah Erra atau Emran. Erra berkata, kebanyakan masa Aleesya bersamanya memandangkan suaminya sentiasa sibuk. Walau bagaimanapun, jika di rumah Emran ringan tangan membantu malah suaminya itu kelihatan tidak kekok melayan Aleesya.

Ditanya perancangan untuk cahaya mata seterusnya. Kata Erra, pengalaman melahirkan Aleesya menyebabkan dia terpaksa mempertimbangkan kembali rancangan untuk menimang empat cahaya mata. Bagaimanapun, Emran ternyata masih berpegang kepada janji yang sudah pun dipersetujui mereka.

INFO: Erra dan Aleesya

# Engku Aleesya dilahirkan pada 30 Mac lalu, pada jam 11.40 pagi dengan berat 4.04 kilogram. Berat badannya kini mencecah 6 kilogram setelah hampir memasuki bulan kedua.

# Antara rakan artis yang hadir pada majlis itu ialah Umie Aida, Zahida Rafik, Zarina Zainuddin, Sharifah Shahira, Zaibo dan Betty Benafe.

# Majlis aqiqah dan cukur jambul itu dirancang dengan cukup rapi dan dihias indah dengan konsep merah jambu dan putih.

# Erra bakal kembali ke lokasi penggambaran untuk sebuah drama bersiri di bawah arahan Rashid Sibir pada 25 Jun ini.

# Tidak menggalakkan puteri sulungnya itu mengikut jejak langkahnya malah Erra sudah pun menolak tawaran berlakon untuk anaknya. Bagaimanapun Erra dan Aleesya dilamar sebuah produk penjagaan bayi untuk sebuah program khas tetapi masih tidak boleh didedahkan kepada umum.

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Gambar Engku Aleesya - Anak Erra Fazira @ Lirikami

0 Komen:

Catat Ulasan

 
◄Design by Lirikami