Home » » Perkahwinan Emelda - Adlin Aman Ramlie

Perkahwinan Emelda - Adlin Aman Ramlie

Diiringi motosikal berkuasa besar, pasangan mempelai Adlin Aman Ramlie dan Emelda Rosmila Abdul Hamid tiba di pintu masuk hadapan Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan disambut dengan alunan muzik keroncong dimainkan oleh kumpulan Klasik serta ahli keluarga kedua-dua pihak, sebelum melangkah ke pelamin untuk majlis persandingan yang amat bermakna bagi kedua-duanya, malam kelmarin.

adlin
Pasangan pengantin itu mengambil langkah yang cukup tertib diapit oleh Aqasha dan Aween menuju ke pentas utama yang dihiasi indah dengan jambangan bunga ros merah berkonsepkan taman seperti diidamkan Emelda yang amat meminati suasana 'Taman Inggeris'.

emelda-adlin
Untuk majlis malam itu, pasangan mempelai terbabit mengenakan busana tradisional Melayu rekaan Rizman dan Ruzaini berwarna putih sesuci ikatan perkahwinan yang dibina mereka.

Emelda kelihatan anggun persis seorang puteri raja manakala Adlin begitu kacak bagaikan watak Sultan Mahmud di dalam teater Puteri Gunung Ledang.

Seperti pasangan pengantin lain, ternyata mereka juga tidak putus dengan senyuman sama ada disebabkan usikan daripada rakan-rakan atau mungkin sudah tentu menghargai hari yang amat bahagia.

Upacara pertama pada malam itu dimulakan dengan acara merenjis yang dimulakan oleh ibu kepada Adlin, Ruminah Sidek dan diikuti oleh ibu Emelda, Rokiah Ibrahim kemudian dituruti oleh kedua-dua ahli keluarga pasangan terbabit.

Majlis persandingan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran teman artis antaranya pasangan Que Haidar dan Linda Jasmine, Afdlin Shauki, Mamat Khalid, Adibah Noor, Chef Wan, Zed Zaidi, Musly Ramlee, Julie Dahalan, Fetty Dzul, Raja Azmi dan bintang Akademi Fantasia (AF) 7 Aril dan Akim manakala AC Mizal bertindak sebagai pengacara majlis pada malam bersejarah itu.

Antara teman artis yang sudi menyumbangkan suara malam itu ialah Musly Ramlee yang menyampaikan lagu Gambus Jodoh dan Gemala Hati serta Adibah Noor mendendangkan lagu Kasih.

Tidak ketinggalan membuat persembahan pada malam persandingan itu dua bintang AF7 Aril dan Akim masing-masing menyampaikan dua buah lagu dan sebuah duet. Mereka hadir ke majlis itu sejurus tiba dari Bandung menaiki van Astro.

Acara kemuncak pada malam itu adalah acara pemotongan pulut kuning tiga tingkat oleh pasangan terbabit sebagai tanda simbolik dan pelengkap kepada majlis resepsi itu.

Sebelum upacara pemotongan pulut kuning itu, Emelda sempat meluahkan perasaan sedih dan menitiskan air mata kerana tidak dapat meraikan majlis bersejarah bersama bapa tercinta, Allahyarham Abdul Hamid Md Ally yang meninggal dunia akibat sakit jantung Februari tahun lalu.

Seluruh Dewan Bankuet menjadi sayu apabila tetamu bertafakur selama satu minit dengan membaca surah Al-Fatihah bagi menghormati pemergian bapa kesayangan Emelda itu.

Saya bangga beristerikan Emelda

Sementara itu, ketika ditemubual sewaktu majlis akad nikah yang lalu Adlin berkata beliau amat seronok dan teruja kerana empat tahun perkenalan mereka berakhir di jinjang pelamin.

"Saya berbangga memperisterikan Emelda kerana dia mengenali saya dari luar dan dalam serta menerima segala kelebihan dan kekurangan saya seadanya.

"Mulai hari ini, saya juga akan memberi sepenuh kepercayaan kepada isteri untuk mengubah dan membentuk saya menjadi suami sempurna," katanya.

Emelda pula bersyukur dan lega kerana mereka sudah menjadi suami isteri yang sah setelah sekian lama dan majlis resepsi ini diadakan khas untuk semua kenalan di Ipoh khususnya buat ibunya.

"Bagaimanapun, hati saya tetap sayu dan sedih kerana tidak dapat meraikan hari bersejarah ini bersama bapa yang sudah meninggal dunia.

"Namun saya gembira kerana perjalanan hidup kami diakhiri dengan perkahwinan walaupun Adlin seorang yang sangat sukar untuk difahami," katanya tersenyum dan menjeling manja kepada pasangannya itu.

Kedua mempelai itu mengucapkan terima kasih kepada semua penaja serta mereka yang terbabit dalam menjayakan majlis perkahwinan ini.

Kira-kira 800 tetamu hadir pada majlis persandingan itu.

Adlin, 36 menjadi suami kepada Emelda, 29 secara rasmi pada 23 Mei lalu (Jumaat) apabila pasangan ini dinikahkan oleh Pegawai Nikah, Cerai & Rujuk, Pasukan Gerak Am Hulu Kinta, Zainuddin Abdul Arshad.

Majlis pernikahan diadakan di Masjid An-Nur, Batu 8, Chemor, Perak dengan Adlin membuat sekali lafaz. Dalam majlis itu, Emelda menerima wang hantaran berjumlah RM30,000 berserta mas kahwin sebanyak RM1,000 selain menerima tujuh dulang hantar dibalas dengan sembilan dulang.

Selepas acara pernikahan selesai, diadakan majlis berinai yang dibuat di rumah pusaka keluarga Emelda di Kampung Batu Lapan, Chemor. Acara persandingan akan diadakan untuk rakan-rakan dan sanak saudara di Kuala Lumpur tidak lama lagi, manakala Adlin turut merancang untuk melangsungkan majlis yang sama dengan konsep Jawa bagi memenuhi kehendak ibunya, Rosminah Sidek.

Perkahwinan Emelda - Adlin Aman Ramlie @ Lirikami

0 Komen:

Catat Ulasan

 
◄Design by Lirikami