Home » » Kabir Bhatia mohon status penduduk tetap

Kabir Bhatia mohon status penduduk tetap

Pengarah filem dan drama tempatan kelahiran Mumbai, India, Kabir Bhatia akan membuat permohonan mendapatkan status penduduk tetap (PR) rakyat Malaysia kerana menyedari aktiviti seninya banyak dicurahkan di negara ini.

“Saya akan memohonnya tahun depan. Siapa yang tidak ingin dihargai seiring dengan hasil kerja yang dilakukan. Tanyalah kepada sesiapapun, pasti mereka yang bekerja keras mahukan sedikit penghargaan.
Kabir Bhatia Tapi bagi saya, soal status itu bersikap subjektif dan selagi boleh berkarya, saya akan terus melakukannya.

Kemenangan Setem biarpun untuk tiga kategori teknikal di FFM 22 sudah cukup membuatkan saya tersenyum. Itu sudah cukup baik untuk saya dan pihak produksi melakukan yang lebih baik pada masa mendatang. Kemenangan itu menjadi daya penggerak serta motivasi untuk terus bersaing secara sihat di dalam industri,” katanya.

Filem Setem arahannya berjaya menarik perhatian juri profesional bagi kategori Sinematografi Terbaik, Penyunting Terbaik dan Penataan Seni Terbaik ketika FFM 22 berlangsung di Sabah awal Ogos lalu.

Ketika artikel ini ditulis, Kabir masih rancak menyudahkan penggambaran drama Jalan Merdeka yang menyahut seruan kerajaan terhadap gagasan 1Malaysia.

Hakikatnya, sudah sembilan tahun Kabir Bhatia bermastautin di Malaysia menyumbangkan karya seni menerusi perfileman dengan hasilnya memberikan impak tersendiri dan penanda aras terhadap pencapaian peribadinya.

Memulakan pengarahan sejak 10 tahun lalu, dia tidak berbelah bagi untuk mencurahkan segala idea dan kepakaran untuk dikongsi bersama-sama penggiat perfileman di negara ini.

Dalam tempoh itu, Kabir sudah menghasilkan beberapa filem yang mendapat sambutan baik daripada penonton tempatan seperti Cinta, Sepi dan yang masih ditayangkan sekarang Setem. Selain itu dia juga sudah menghasilkan berpuluh drama untuk terbitan stesen TV tempatan.

Dia memulakan khidmatnya dengan sebuah syarikat penerbitan besar iaitu, Antah UTV hinggalah kini menerusi syarikat Filmscape. Hasil pengarahannya mula menjadi sebutan. Daripada drama City Of Rich, Astana Idaman, Hartamas, Frontpage, Kekasihku Seru dan kini drama bersiri Nur Kasih yang masih disiarkan di TV3.

Malah sesekali gandingannya dengan penulis skrip, Mira Mustaffa yang juga isterinya, ternyata menjadi ramuan terbaik untuk terus menambat hati penggemar seni. Apa yang enjadi persoalan di sini, sampai bila dia terus berkarya tanpa memegang status penduduk tetap (PR) Malaysia.

Ini kerana hanya kerana kekangan itu, nama Kabir terpaksa diketepikan untuk dicalonkan sebagai Pengarah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-22 menerusi filem Setem. Sebelum ini pada FFM20, namanya juga terpaksa diketepikan daripada mewakili filem Cinta untuk kategori yang sama kerana peraturan menetapkan bukan warga negara tidak boleh dicalonkan untuk mana-mana kategori dalam festival itu.

Oleh Zaidi Mohamad

Kabir Bhatia mohon status penduduk tetap @ Lirikami

0 Komen:

Catat Ulasan

 
◄Design by Lirikami