Home » » Belasungkawa Ahmadi Hassan (17 Jun 1947-17 Feb 2010)

Belasungkawa Ahmadi Hassan (17 Jun 1947-17 Feb 2010)

Buat mereka yang membesar sekitar 1970-an dan 1980-an, pasti nama Pak Chat, watak dibawa Ahmadi Hassan meniti di bibir mereka. Namanya begitu dikenali menerusi drama radio begitu popular pada ketika itu, Fajar Di Bumi Permata.

Lagunya yang melonjak ketika itu, Godaan Dunia, Ilahi, Allahu Rabbi, Cubalah Cuba dan Boleh Kata Boleh juga menjadi siulan ramai.


Bagaimanapun, dia pernah berehat seketika daripada arena seni suara. Namun begitu, darah seni mengalir dalam tubuhnya membuatkan Ahmadi atau nama sebenarnya, Ahmad Hassan kembali ke dunia hiburan yang ditinggalkan selama 19 tahun sejak 1988.

Bersesuaian dengan populariti dan pelopor lagu nasyid tempatan, dia tampil menghadiahkan peminatnya dengan album nasyid sepenuhnya menggabungkan lagu baru dan lama. Lebih menarik, beliau menggunakan peralatan tradisional seperti gendang, kompang dan gambus Istimewanya album itu dirakamkan di Beirut, Lubnan semata-mata bagi mendapatkan sentuhan muzik dan pemuzik di sana selaras dengan konsep album nasyid padang pasir. Menjadi kebiasaan dalam setiap penerbitan albumnya, Pak Chat gemar merakamkan lagu nasyid di negara Timur Tengah termasuk di Mesir untuk mendapatkan feel muzik nasyid Arab tulen dan sejati.

Kata Ahmadi, dia menghasilkan album itu sebagai kenangan buat peminat. Antara lagu yang dimuatkan ialah Islam Agama Kemajuan, Oh Dunia, Hayati dan Selimut Malam. Ketika bersama Masa Entertainment & Productions pula, beliau tampil dengan album world music dan album nasyid, Bahagia Berkasih. Album itu hebat kerana berjaya meraih anugerah Album Nasyid Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM14). Bagaimanapun, nyata Bahagia Berkasih menjadi album terakhirnya.

Tidak keterlaluan dikatakan Ahmadi antara artis rakaman lagu nasyid yang cukup berjaya pada eranya selain kumpulan Al-Mizan dan Al-Jawaher. Namun, sekitar 1990-an, nama Ahmadi kian tenggelam dan dia beralih arah ke bidang pengarahan pula. Filem Penghujung Malam lakonan Khalid Salleh dan Melissa Saila serta drama Tuan Guru membuktikan bakat Ahmadi sebagai sutradara.

Aktres Noorkumalasari membintangi filem itu memuji budi pekerti Allahyarham yang penyabar, sederhana dan menghormati orang lain. Noor berkata, dia tidak pernah jumpa pengarah yang sangat ringkas sepertinya.

"Mana ada orang filem mengarah pakai kain pelekat dan selipar Jepun? Kalau terlewat atau ada apa-apa kesilapan teknik pun, dia minta maaf. Bukan saja dengan saya bahkan dengan suami saya. Sesibuk mana pun di lokasi beliau tidak pernah meninggalkan solat," katanya.

Dalam filem itu, Noor memegang watak sebagai pengurus butik yang berjaya menanamkan perasaan benci anaknya, Rita (Melissa Saila) terhadap bekas suaminya, Razak (Khalid Salleh) dengan pelbagai fitnah. Kini, insan bernama Ahmadi itu sudah tiada. Tinggal kini lagu nasyid yang akan terus menjadi santapan rohani peminatnya. Kelmarin, Ahmadi, meninggal dunia di Hospital Pusat Pakar Al Islam, Kampung Baru, Kuala Lumpur, jam 5.30 petang kerana komplikasi buah pinggang.

Arwah dimasukkan ke hospital itu selepas disahkan kedua-dua dua buah pinggangnya mengecut.

Menurut anak sulungnya, Shahril, sebelum ini ayahnya demam berpanjangan selama sebulan.

"Saya membawa ayah mendapatkan rawatan di hospital pakar dua minggu lalu. Hasil menjalani pemeriksaan doktor, kami diberitahu kedua-dua buah pinggangnya mengecut. Dia menjalani rawatan dialisis di hospital itu minggu lalu. Sebelum ini, ayah turut mengalami gout dan lelah. Apapun, kami sekeluarga reda dengan pemergiannya," katanya.

Allahyarham berasal dari Padang Menora, Seberang Perai, Pulau Pinang, meninggalkan tujuh anak menerusi dua perkahwinan dan lima cucu. Selepas berpisah dengan isteri pertama, Hasnah Abu, 61, pada 1985, Allahyarham mengahwini Samsiah Hamdan, 50.

Bersama Hasnah, dia dikurniakan tiga anak, Shahril, 35, Shariza, 34 dan Shazana. Arwah mempunyai empat zuriat dengan Samsiah iaitu Shahrizat, 22, Shahirah, 20, Shakirah, 19 dan Shukri, 16.

Anak bongsunya, Shukri berkata, dalam kalangan rakan dan jiran, ayahnya begitu disenangi kerana suka berjemaah di masjid berhampiran rumahnya.

"Sejak tahun lalu, ayah menyertai kumpulan marhaban, Markom yang ditubuhkan penduduk Kampung Merbau Sempak sebagai satu daripada aktiviti keagamaan. Allah lebih menyayanginya dan semoga roh dicucuri rahmat. "Saya akan sentiasa ingat jasanya menghantar saya ke sekolah setiap hari. Ayah sangat mengambil berat mengenai kami sekeluarga dan selalu berpesan supaya tidak meninggalkan solat," kata pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Utama itu.

Jenazah beliau dibawa balik ke kediamannya di Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh, malam kelmarin dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam kampung itu, jam 10 pagi semalam. - Al Fatihah

Oleh Nor Akmar Samudin dan Esme Johari Wahab

Belasungkawa Ahmadi Hassan (17 Jun 1947-17 Feb 2010) @ Lirikami

0 Komen:

Catat Ulasan

 
◄Design by Lirikami