Home » » Adnan Sempit The Series

Adnan Sempit The Series

Dilahirkan dalam keluarga berdarah seni, Shaheizy Sam atau lebih dikenali sebagai Sam, bukanlah nama yang asing dalam dunia lakonan tanah air.

Ibunya, Kathy Fauziah, kakaknya, Zizie Izette merupakan pelakon drama dan filem yang cukup popular.


Begitu juga dengan abangnya, Jeff yang pernah mencipta nama sebagai penyanyi bersama kumpulan A To Z yang popular pada tahun 1990-an.

Justeru, apabila Sam menampilkan dirinya sebagai pelakon drama televisyen dan kini semakin popular pula di layar perak, ia memang tidak menghairankan para peminat.

Bukan setakat bakat lakonannya yang bersahaja, malah sokongan daripada keluarganya selama ini juga banyak mencetuskan kejayaan buat dirinya.

Selepas lebih lima tahun bergelar pelakon, Sam mula memperlihatkan 'taring' bakatnya menerusi filem Adnan Sempit lakonannya yang berjaya mengaut kutipan tiket RM7.8 juta.

Filem terbitan MIG Productions Sdn. Bhd. yang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara pada bulan lalu itu mencatat rekod baru dalam industri perfileman tempatan.

Sam mungkin boleh berbangga kerana filem genre aksi komedi arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri itu merupakan filem Melayu yang mengutip kutipan tiket tertinggi.

Sebagai pelakon utama Adnan Sempit, pelakon muda ini tidak dapat menyembunyikan rasa bangganya kerana watak Adnan lakonannya dalam filem itu mendapat sambutan luar biasa daripada para penonton.

Namun, gelaran hero filem Melayu baru dengan kutipan tiket RM7.8 juta itu tidak mengalpakan Sam. Sebaliknya, dia mengambil cabaran itu dengan menggalasnya sebaik mungkin sambil merendah diri dengan pencapaian dalam filem tersebut.

"Kejayaan filem ini bukanlah terletak atas bahu saya sahaja, tetapi ia juga atas kehebatan pengarahnya (Ahmad Idham), krew dan sebagainya.

"Kami dalam satu kumpulan. Mungkin, sebagai pelakon watak utama dalam filem ini tumpuan banyak diberikan kepada saya.

"Keluarga saya terutamanya emak saya banyak memberi dorongan dalam bidang lakonan," katanya ketika ditemui selepas majlis doa selamat mula penggambaran Adnan Sempit The Series di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Drama bersiri sebanyak 26 episod itu akan ditayangkan menerusi saluran 132 di Astro Warna sekitar April ini.

Adnan Sempit The Series yang juga diterbitkan oleh MIG Productions Sdn. Bhd. merupakan kesinambungan daripada jalan cerita filem Adnan Sempit.



Sam sekali lagi diberi kepercayaan melakonkan watak Adnan dalam drama bersiri itu bukan di bawah arahan Ahmad Idham tetapi ia akan diarahkan oleh Ismail Hashim.

Namun, kata peminat pelakon Al Pacino ini, dia tidak akan memandang enteng drama bersiri yang akan dilakonkannya itu.

Ini kerana, kata Sam Adnan Sempit The Series bukan sebarang drama bersiri tetapi dia menggalas jalan cerita yang berasaskan daripada filem Melayu paling box-office setakat ini.

"Bukannya senang mahu memikul peranan itu kerana bagi yang sudah menonton filem Adnan Sempit mereka tentunya menjangkakan jalan cerita yang lebih menarik dan detail dalam drama ini.

"Cabaran berlakon dalam drama bersiri ini juga berbeza. Saya mengambil masa 20 hari menjalani penggambaran filem Adnan Sempit sedangkan penggambaran drama bersiri ini mengambil masa lebih sebulan," tegasnya.

Justeru, dia menganggap dengan menggalas watak hero dalam Adnan Sempit dengan kutipan tiket RM7.8 juta bukanlah mudah.

Pelakon filem Sama Tak Serupa, Bohsia Jangan Pilih Jalan Hitam, Syurga Cinta, Jangan Pandang Belakang Congkak, KL Drift 2, Niyang Rapik dan Ngangkung ini terpaksa membuktikan populariti watak Adnan dapat terus dipopularkannya menerusi drama bersiri tersebut.

Selain semakin menonjol di layar perak, Sam juga tidak menyangka penampilannya dengan watak komedi dalam Adnan Sempit mahupun Adnan Sempit The Series berjaya menarik perhatian para penonton.

"Bukannya senang untuk melakonkan aksi-aksi komedi dalam filem atau drama Adnan Sempit. Ini kerana, sebagai pelakon orang mahu ketawa melihat lakonan saya dalam filem itu.

"Saya risau kalau orang tidak ketawa nanti watak lakonan saya itu nampak bodoh pula. Apa pun saya seronok kerana dapat melakonkan watak itu dengan sedaya upaya saya," jelasnya.

Sementara itu, pengarah Adnan Sempit The Series iaitu Ismail Hashim atau Bob turut tidak menafikan terpaksa menggalas cabaran yang bukan kepalang mengarahkan lanjutan cerita daripada filem yang mencatat kutipan tiket 'pecah panggung' itu.

Menurut Bob, antara cabaran yang perlu dilaluinya ialah agar para penonton saluran Astro Warna tidak kecewa menonton Adnan Sempit The Series sewaktu ia ditayangkan kelak.

Jelasnya, para penonton tentunya menjangkakan suatu kelainan apabila menonton drama bersiri dengan setiap episod mengambil durasi tayangan sekitar 60 minit itu berbanding versi filem Adnan Sempit.

"Para penonton Astro bukan sahaja membayar bil langganan, malah untuk menonton Astro Warna mereka sekali lagi terpaksa membayar yuran langanan yang berbeza. Jadi jangkaan dan harapan para penonton tentunya tinggi.

"Sebab itu, perlu ada banyak elemen yang menarik dalam setiap episod drama bersiri ini. Kami contohnya akan 'meletupkan' sekitar empat buah motosikal tajaan Modenas dalam adegan-adegan lasak yang akan dipaparkan kelak," ujarnya.

Adnan Sempit The Series yang mula menjalani penggambaran pada 27 Februari lalu di sekitar Lembah Klang turut dilakonkan oleh Intan Ladyana yang melakonkan watak Nadia dan Norliana Samsudin (Wawa).

Sebagai pengarah muda di MIG Productions Sdn. Bhd., Bob menaruh keyakinan tinggi jalan cerita dan populariti filem Adnan Sempit dapat membantu menarik para penonton menonton drama bersiri tersebut.

"Daripada sekitar 800,000 penonton yang telah menonton Adnan Sempit, saya harap separuh daripada jumlah itu menonton drama bersiri ini pun okay.

"Saya yakin mampu menarik ramai penonton berdasarkan drama bersiri Jangan Tegur Lagi arahan saya episod akhir yang ditayangkan di TV3 bulan lalu ratingnya mencecah 2.9 juta penonton mengalahkan slot Buletin Utama," katanya lagi penuh optimis.

Adnan Sempit The Series @ Lirikami

 
◄Design by Lirikami