Home » » Album Phobia Phoney Bunkface

Album Phobia Phoney Bunkface

KEMUNCULAN Phobia Phoney dilihat sebagai satu hadiah untuk peminat yang sekian lama menunggu album sulung Bunkface.

Memuatkan 10 buah lagu, akhirnya, album sulung Bunkface berjudul Phobia Phoney muncul juga di pasaran. Sekian lama dinantikan oleh peminatnya, Phobia Phoney menyerlahkan hasil usaha mereka sendiri apabila diterbitkan menerusi produksi Bunkface Production.

Turut sama mengeluarkan duit poket termasuk dibantu ahli keluarga, kelahiran Phobia Phoney menjadi pasport untuk Bunkface berkongsi pengalaman hidup mereka bersama pendengar sejak kumpulan itu ditubuhkan pada 2005.

Lagu-lagu yang dimuatkan adalah Bunk Anthem, Prom Queen, Revolusi, Soldier, Escape Dance, Dunia, Extravaganza, Situasi, You & Me serta Minute To The End.

Kata Sam selaku vokalis Bunkface, Phobia Phoney merupakan perlambangan mengenai Bunkface yang pada awalnya agak kurang bersedia dan fobia untuk muncul dengan album pertama.

Dengan persaingan yang dilihat semakin kuat, Bunkface jelasnya, bertemu jawapan pasti yang mana mereka perlu tampil menerbitkan album sebagai memecahkan rasa fobia terhadap apa jua yang diperkata orang terhadap Phobia Phoney nanti.

"Phobia Phoney merupakan kisah kami sepanjang meniti perjalanan di lapangan muzik tempatan. Segala pengalaman pahit manis diluahkan dalam album ini.

"Tidak kurang, Phobia Phoney menyelitkan kisah cinta serta nilai-nilai murni,'' ujar Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd. Baharom tatkala ditemui di majlis pelancaran Phobia Phoney di Hard Rock Cafe di ibu negara baru-baru ini.



Selain Sam, anggota Bunkface yang lain adalah Ahmad Farhan Hashim atau Paan selaku pemain gitar utama dan Mohd. Farouk Jaafar yang mesra dipanggil Youk (bass/vokal latar).

Menyusuri perjalanan Bunkface, ia bermula sekadar sesi jamming biasa antara tiga rakan sekolah ini yang kemudiannya bertukar menjadi kumpulan muzik.

Bunkface mula mendapat perhatian ramai sekitar 2006 melalui penyertaan mereka di rancangan televisyen popular, Blastoff 3.

Pencapaian awal Bunkface adalah ketika memenangi tempat pertama dalam pertandingan Battle Of Bands pada Mac di tahun yang sama.

Ia telah membuka pintu untuk Bunkface melangkah ke bidang muzik arus perdana biarpun bergerak secara sendiri.

Pada Disember 2007, Bunkface mengeluarkan EP mereka yang pertama berjudul Lesson Of The Season namun lebih popular dengan lagu Silly Lilly.

Single berbahasa Melayu yang pertama mereka iaitu Situasi mula melonjakkan lagi populariti mereka sehingga terpilih ke final Anugerah Juara Lagu 2009 dan mengungguli Shout Awards.

Menurut Sam, Phobia Phoney dihasilkan dengan bajet RM15,000 dan Bunkface akan menumpukan pasaran tempatan terlebih dahulu sebelum meneroka pasaran luar.

"Untuk pasaran awal, sebanyak 2,000 salinan dikeluarkan dan kami sendiri bertindak mengedarkan album ini,'' katanya.

Kami masih baru - Youk

Sementara itu, Youk yang ditanya mengenai peristiwa lalu apabila Bunkface dilabel sebagai tidak mesra media berkata, kumpulan itu kini secara perlahan mula berubah untuk mewujudkan situasi menang-menang dengan pihak media.

Sedar akan apa yang dilalui, jelas Youk, Bunkface masih baru dan sebelum ini agak kabur dalam selok belok arus perdana.

"Kami baru hendak belajar. Apa yang penting, kami perlu berfikiran positif. Antara media dan Bunkface perlu saling hormat-menghormati.

"Tapi, sekarang kami sudah okey,'' katanya sambil melahirkan rasa bangga atas kelahiran Phobia Phoney.

Ditanya mengenai Phobia Phoney, Youk memberitahu, dia masih belum mencapai kepuasan maksimum.

"Kami sebenarnya masih mencari identiti. Album ini ada konsepnya yang tersendiri tetapi seperti biasa, kami mahu sesuatu yang menampakkan kematangan.

"Ini album pertama. Harap-harap kami akan dapat menguatkan lagi identiti dan konsep Bunkface,'' ujarnya.

Menurut Youk, bagi menguatkan lagi pasaran Phobia Phoney, Bunkface merancang untuk mengadakan siri jelajah promosi di seluruh negara tidak lama lagi.

Bunkface juga, jelasnya, akan terbang ke United Kingdom (UK) sekitar Jun atas jemputan mengadakan persembahan sempena Breakout Festival yang pernah diadakan di Maldives, tahun lalu.

"Peluang ke UK akan kami gunakan sepenuhnya dalam usaha menapakkan nama Bunkface di pentas antarabangsa,'' bicara Youk yang lebih selesa meluahkan cerita mengenai kerjaya berbanding soal peribadi.

Saingan dalam AIM

Tentang Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) yang bakal berlangsung 2 Mei ini, Youk dengan nada rendah diri berkata, Bunkface terharu kerana tercalon dalam tiga kategori.

Kategori berkenaan adalah Artis Baru Terbaik, Lagu Rock Terbaik (Situasi) dan Lagu Inggeris Terbaik (Prom Queen).

Untuk kategori Artis Baru Terbaik, Bunkface akan ditentang hebat oleh Azlan & The Typewriter, Prema Yin, Tomok dan Yuna.

"Kami tidak mengharapkan kemenangan. Biarlah juri menentukan segalanya. Tetapi, saingan kami dalam AIM17 cukup sengit,'' tambahnya.


Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

Album Phobia Phoney Bunkface @ Lirikami

 
◄Design by Lirikami