Home » » Ayam Den Lapeh julang nama Elly Kassim

Ayam Den Lapeh julang nama Elly Kassim

Lagu klasik Ayam Den Lapeh bukan saja mengangkat nama Elly Kassim, 66, sebagai penyanyi malah membawanya menjelajah pelusuk dunia mengalunkan lagu berbahasa Minang itu.

Anak Minang kelahiran Tiku, Kabupaten Agam, Sumatera Barat pada 27 September 1944 ini baru pulang dari jelajah beberapa negara Eropah termasuk Perancis dan Poland selama 20 hari. Baru-baru ini dia diundang ke Kuala Lumpur bersama seorang lagi penyanyi Indonesia, Eddy Silitonga untuk menjayakan teater Teratak Minang. Elly berkata, apabila ke Barat, dia akan ditemani rakan baiknya, Biduanita Titiek Puspa dan mereka menghiburkan penonton di sana dengan lagu-lagu Minang dan Batak.

Selain itu kumpulan penarinya, Sang Rima Bunda yang sudah bersamanya sejak 1975, juga akan sama mengelilingi dunia. Tentunya lagu Ayam Den Lapeh tidak pernah ketinggalan untuk disampaikan mereka.


"Sebenarnya saya bukanlah penyanyi asal lagu ciptaan Pak Hamid itu sebaliknya mula dirakamkan Orkes Gumarang pada 1950-an. Saya rakamkan lagu itu pada 1964 dan ia terus jadi top. Sebelum dikenali dengan lagu itu, saya popular dengan lagu Kudaku Lari yang dirakamkan pada 1963.


"Ayam Den Lapeh dirakamkan di Singapura ketika saya menjayakan persembahan selama sebulan bersama Diah Iskandar dan Ernie Djohan. Ternyata lagu itu membawa tuah kepada saya hingga dikenali sehingga kini. "Apabila menjayakan persembahan di Kuala Lumpur 1970-an, ramai di sini mula mengenali saya dengan lagu itu. Malah syarikat rakaman tawarkan saya rakam album dan saya pernah merakamkan lagu duet dengan Jeffrydin pada 1971. "Banyak sekali kenangan saya di Malaysia dan saya juga pernah mendapat anugerah seperti Anugerah Bintang Seniman iaitu Penghargaan Khas Penyanyi Tradisional pada Jun 2007. Saya juga sering diundang menyanyi di sini.

"Jadi peluang menjayakan teater Teratak Minang satu penghargaan besar buat saya kerana pementasan ini menggabungkan penyanyi dari dunia negara. Semoga hubungan baik ini tambah mesra dengan adanya jalinan kerjasama ini," katanya.

Nenek kepada 12 cucu ini berbangga dengan kejayaan Ayam Den Lapeh dan tahu lagu itu pernah dirakamkan Anita Sarawak, Datuk Sharifah Aini dan Sakura. Katanya, dia pernah bertemu Anita menjayakan persembahan di Singapura dan juga di Kuala Lumpur tetapi tidak pernah mendengar Ayam Den Lapeh versi Anita. Malah Elly mendedahkan, lagu itu turut dirakamkan dalam bahasa Vietnam.

"Saya sudah menjelajah seluruh daerah di Indonesia dengan menyanyi dan lagu itu memang popular. Tapi saya dimaklumkan oleh Ernie Djohan bahawa lagu itu juga pernah dirakam dalam bahasa Vietnam. Saya bimbang kalau mereka menyangka itu lagu asal mereka. "Sudah tentu saya bangga lagu itu diterima orang luar tetapi kalau sudah diterjemahkan dalam bahasa asing, dibimbangi mereka mendakwa itu lagu mereka. Saya bimbang lagu itu 'dicuri' bangsa lain. Kalau tidak dilindungi sebagai hasil karya cipta anak Minang," katanya.

Sebagai anak Minang sejati, Elly mahu anak-anak serta cucunya menjunjung adat dan budaya Minang dengan bertutur bahasa Minang dan menjaga warisan kebanggaan nenek moyang mereka.

Elly juga bertemu jodoh dengan orang Minang, Nazif Basir, 75, pada 21 April 1971 dan mempunyai seorang anak, Risallyna Mustika serta membesarkan lima anak-anak Nazif dari perkahwinan sebelumnya iaitu Widya Lestari, Reswarti, Adi Iman Patria, Susy Rahmawati dan Benny Susendra.



Pasangan ini sama-sama mencintai dunia seni tetapi Nazif yang juga pengasas akhbar Singgalang pada 1968, lebih berminat kepada kerja belakang tabir sebagai pengarah, penulis skrip dan lirik lagu. Nazif adalah penulis lirik lagu Dindin Ba Dindin dan juga pengarah Malim Kundang dan dijayakan Elly Kassim dan Titiek Puspa di Istana Budaya pada November 2001.

Menariknya, ketika berada di Kuala Lumpur selama 10 hari mulai 26 April lalu untuk menjayakan Teratak Minang yang, Elly dan dan Nazif tidak melepaskan peluang menikmati masakan Minang di Restoran Nasi Padang, Kampung Baru. Akui Elly, seleranya lebih suka masakan Minang tetapi tetap menyukai masakan lain. Katanya, kalau di rumah sudah tentu masak makanan Minang untuk keluarga tetapi hujung minggu mereka sekeluarga juga makan di luar menikmati masakan Barat atau Jepun.

"Saya tidak cerewet soal makan tetapi apa yang penting, mesti ada sambal dan sayur. Saya tidak berselera makan kalau tidak ada sayur dan paling suka kalau ada ulam. Tidak kiralah ulam apa pun, paling tidak timun atau kacang panjang.

"Masakan Minang yang paling saya suka ialah soto tetapi gulai ayam, perut atau tunjang, saya kurang suka kerana ada santan. Saya juga tidak suka minuman bergas sejak dulu lagi," katanya memastikan cukup tidur dan banyak minum air untuk menjaga suara.

Mengenai cara didikan terhadap anak-anak, Elly mengatakan mahu mereka bertutur bahasa Minang di rumah tetapi apabila mereka berkeluarga, anak-anaknya mendidik anak-anak mereka bertutur bahasa Indonesia dan Inggeris. "Cucu-cucu saya masih memahami bahasa Minang apabila saya bercakap dengan mereka tetapi dijawab dalam bahasa Betawi. Mereka juga menyukai lagu-lagu Minang seperti Ayam Den Lapeh. Cucu saya, Queennara Adlina Simon, 2, paling suka dan akan menari-nari apabila mendengar lagu ini," katanya.

Sejak menyanyi pada 1961, Elly merakamkan lebih 1,000 lagu dan mempunyai lebih 100 album. Atas sumbangan besarnya pada seni, Elly menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat (A Lifetime Achiefment Award) sebagai tokoh kebudayaan dan pelancongan Sumatera Barat 2008 sempena West Sumatera Tourism Award 2008.

Kata Elly, dia tidak menetap lama di kampung kelahirannya kerana berpindah ke Bukit Tinggi dan Pekanbaru ketika di sekolah rendah dan kini menetap di Jakarta. "Walaupun tidak lama di tanah Minang, bahasa dan budaya Minang tidak akan pernah saya lupakan, Saya juga menerima tanah di kampung kelahiran saya itu untuk dibangunkan menjadi muzium dikenali Elly Kassim Memorial. Kami kini mengumpulkan barang-barang seperti pakaian, piring hitam dan segala anugerah yang diterima untuk dipamerkan.

"Saya juga akan terus menyanyi selagi mampu dan selagi diterima orang. Malah saya akan melancarkan album terbaru yang juga album ke-105, Duo Minang pertengahan tahun ini. Dalam album ini, saya berduet dengan Yan Anas," katanya.

Selain Ayam Den Lapeh, Elly juga popular dengan lagu Kaparinyo, Mudiak Arau, Kelok Sembilan, Baralek Gadang, Sansaro Badan, Bapisah Bukan Bacarai, Usah Di Ratok, Roda Padati dan Bareh Solok. Elly juga boleh menyanyi lagu bahasa Batak, Kalimantan dan Kerinci.

AYAM DEN LAPEH
Luruihlah jalan Payakumbuah
Babelok jalan ka Andaleh
Dima hati indak karasuah
Ayam den lapeh
Oi oi ayam den lapeh

Mandaki jalan pandai sikek
Manurun jalan ka palupuah
Dima hati indak kamaupek
Awak takicuah
Oi oi ayam den lapeh

Siku capang siku capeh
Saikua tabang sikua lapeh
Lapehlah juo nan karimbo
Oi lah malang juo

Pagaruyuang hai Batu Sangkar
Tampek bajalan urang basor
Duduak tamanuang tiok sabantar
Oi takanang juo

Oi oi ayam den lapeh
oi oi ayam den lapeh

Oleh Hartati Hassan Basri

Ayam Den Lapeh julang nama Elly Kassim @ Lirikami


Rahsia Kuruskan Badan. Keterangan lanjut,sila klik sini
 
◄Design by Lirikami