Home » » Juara American Idol Lee DeWyze

Juara American Idol Lee DeWyze

Peserta yang suka berahsia, Lee DeWyze diumumkan sebagai juara American Idol musim kesembilan semalam, menewaskan Crystal Bowersox pada pertandingan nyanyian yang paling digemari di Amerika itu.


DeWyze, 24, memenangi program didamba ramai itu, selepas berjuta-juta rakyat Amerika mengundi pemain gitar blues itu, walaupun hakim menganggap persembahan Bowersox lebih baik pada pertandingan akhir rancangan realiti berkenaan pada Selasa lalu.

"Saya tidak pernah merasa lebih bahagia seperti ini dalam hidup saya," katanya yang bekerja di sebuah kedai cat di Chicago sebelum menyertai uji bakat pertandingan nyanyian anjuran Fox TV pada tahun lalu.

Dia yang kelihatan pemalu dan mengambil mudah pada awal penyertaan, memperbaiki persembahan pada pusingan seterusnya dan muncul sebagai pesaing hebat kepada rocker yang juga ibu tunggul, Bowersox selepas dia menyampaikan klasik Leonard Cohen, Hallelujah dengan beremosi di pertandingan separuh akhir pada minggu lalu.

Pada pertandingan akhir rancangan itu, hakim menganggap Bowersox bakal menjadi pemenang.

Seorang hakim, Simon Cowell yang terkenal dengan komen pedasnya menggambarkan nyanyian terakhir Bowersox, Up to the Mountain sebagai cemerlang.

Namun, rakyat Amerika mempunyai pandangan berbeza dan selepas pengiraan undian melalui pesanan ringkas serta telefon, DeWyze diumum sebagai pemenang pertandingan akhir itu yang berlangsung selama dua jam, dan turut menampilkan persembahan artis popular, Christina Aguilera, Janet Jackson dan Joe Cocker.

Bekas hakim American Idol, Paula Abdul muncul kembali dalam rancangan berkenaan bagi meraikan penampilan terakhir Cowell sebagai hakim untuk rancangan itu.

Cowell yang juga eksekutif muzik British akan meninggalkan rancangan itu untuk melancarkan pertandingan pencarian bakat, The X-Factro versi Amerika Syarikat (AS) di Fox TV pada akhir 2011.

Selain itu, lagu popular kumpulan U2, Beautiful Day yang dirakam semula DeWyze akan dikeluarkan sebagai single pertama untuk album pertamanya yang bakal dikeluarkan Sony Music Entertainment.

American Idol masih menjadi rancangan televisyen paling digemari pada musim kesembilannya, namun jumlah penontonnya dilihat menurun kira-kira 9 peratus pada tahun ini dengan anggaran 23.9 juta penonton bagi setiap episod. - Reuters

Juara American Idol Lee DeWyze @ Lirikami

 
◄Design by Lirikami