Home » » Program Imam Muda

Program Imam Muda

“MODUL pengajian yang berlandaskan agama dan akidah itu tidak sama sekali menerapkan elemen komersial. Program siri pencarian pertama berunsur islam, Imam Muda bebas daripada pengaruh khidmat pesanan ringkas (SMS),” tegas Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar apabila ada maklum balas daripada penonton yang kurang jelas format program pertama di dunia itu.

Program Imam Muda yang disiarkan bagi episod kedua jam 9 malam ini di saluran Astro 106 tidak terlepas daripada kritikan negatif penonton yang masih kabur dengan objektif yang ingin diangkat di dalam program ini. Ia turut disiarkan serentak di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Prima (saluran 105).

Izelan berkata, sejak mula dihebahkan lagi, ramai yang beranggapan program di Astro tidak akan terlepas daripada memperkenalkan elemen SMS yang bertujuan untuk di komersial.

“Saya tidak kecewa dengan pandangan sesetengah pihak yang masih kurang jelas dengan matlamat kita untuk memartabatkan imam sebagai pemimpin yang memegang tanggungjawab besar di dalam masyarakat.

“Kita juga akui kerana ini adalah program pertama di dunia yang memperkenalkan format ini malah berbangga kerana ia adalah cetusan idea daripada anak tempatan sendiri.

“Maklum balas yang diterima cukup banyak termasuk yang memuji malah tidak terlepas ada yang mengkritik. Di pihak kami sebenarnya bersyukur kerana program kini sudah menjadi bualan sebelum ia disiarkan lagi buat pertama kalinya pada 28 Mei lalu,” katanya.

Setiap minggu, 10 imam ini akan didedahkan dengan ilmu pengetahuan berbeza mengikut skop pembelajaran mereka daripada tenaga pengajar profesional, ia bukan saja berupa pengajian teori malah praktikal turut tidak terlepas.
“Setiap minggu mereka akan diuji dengan ujian bertulis berupa 50 soalan yang berbeza mengikut topik berbeza setiap minggu, itu adalah ujian yang wajib mereka lalui bagi menguji pengetahuan mereka.

“Kami juga menerima maklum balas daripada penonton yang tidak mahu melihat 10 imam ini disingkirkan setiap minggu. Di dalam program ini, kami tidak menggunakan perkataan penyingkiran tetapi ‘perjalanan mereka terhenti di sini’.

“Ertinya mereka bukan disingkirkan tetapi mengundurkan diri daripada program ini untuk memperkemas kini ilmu yang ada. Mereka hanya tidak dipaparkan saja di dalam program ini tetapi masih mengikuti pengajian imam yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Kita sebenarnya tidak mahu mereka apabila pulang ke kampung halaman nanti menjadi buah mulut penduduk kampung. Pengajian mereka diakui oleh JAWI dan semua mereka yang tamat imam yang diperakui,” katanya.

Jika minggu lalu mereka diuji dengan topik kematian dan pengurusan jenazah, namun cabaran berterusan harus ditempuhi pada minggu ini dengan topik kelahiran bermula awal kelahiran hingga isu pembuangan bayi.

Paparan menarik malam ini, 10 Imam Muda akan mengunjungi Dar Assaaah, Kuang, Selangor bagi mendekati wanita terlanjur disebabkan didikan agama yang kurang.

Lebih kurang 40 penghuni wanita berusia 18 hingga 35 tahun akan didekati 10 Imam Muda ini bagi memahami punca berlakunya perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Mereka juga akan mengkaji permasalahan dan latar belakang ibu yang terlanjur ini.

Program Imam Muda @ Lirikami

 
◄Design by Lirikami