Home » » Ulasan Filem Kecoh Betul

Ulasan Filem Kecoh Betul

Umum sudah mengetahui betapa mulai 3 Jun lalu, dua filem Melayu mula ditayangkan serentak. Judul pertama, Kecoh Betul, sebuah komedi ringan yang diterbitkan oleh White Merpati Entertainment Sdn Bhd, manakala filem drama cinta Lagenda Budak Setan pula diterbitkan Tarantella Pictures bersama Astro Shaw.

Sebuah lagi filem Melayu yang kini berputar di pawagam ialah Kapoww: Atoi The Ajaib Boy, yang ditayangkan pada 17 Jun.

Pada hujung minggu lalu, Lagenda Budak Setan muncul filem tempatan terbaik dengan menghuni tempat keenam carta pecah panggung, dengan Kapoww pada kedudukan kesembilan dan Kecoh Betul ke-10.

Jika dibandingkan keupayaan usaha Budak Setan dan Kecoh Betul dalam menarik perhatian peminat ke panggung, filem cinta yang diangkat daripada novel tulisan Akadiat Akashah kira-kira 25 tahun lalu itu nampaknya menunjukkan kelebihan kerana selepas dua minggu tayangan, pungutannya sudah pun mencecah RM4 juta.

Filem arahan Sharad Sharan itu dibintangi Farid Kamil, Lisa Surihani, Que Haidar, Shiqin Kamal, Nur Fazura dan Raja Farah.

Manakala Kecoh Betul yang membariskan pelakon seperti Nabil Ahmad, Bell Ngasri, Saiful Apek, Diana Danielle, Yatt dan Datuk Aziz Sattar pula memungut sekitar RM2.8 juta.
Begitupun, pengarah filem komedi terbabit, Baldev Singh, bersyukur dan gembira dengan sambutan yang dianggapnya memberangsangkan terhadap filem Melayu pertama arahannya.

Ketika ini, filem yang turut dilakonkan Sheila Mambo, Vanessa Chong dan Fauziah Nawi itu ditayangkan di kira-kira 44 skrin seluruh negara, dengan tiga lagi panggung difahamkan mula menayangkannya sejak beberapa hari lalu. Pawagam di Brunei juga turut menayangkan Kecoh Betul mulai 24 Jun.

"Saya gembira dengan persembahan pungutan yang dilakukan filem kami. Ketika yang sama, saya turut berbangga dengan sambutan orang ramai terhadap Lagenda Budak Setan. Walaupun ia bersaing dengan filem terbitan kami, tetapi sambutan itu sebenarnya baik untuk perkembangan industri perfileman tempatan secara keseluruhan," kata Baldev.

Lebih menggembirakan pengarah terbabit apabila Kecoh Betul bukan hanya menarik golongan penonton Melayu untuk ke panggung, sebaliknya penonton kaum lain seperti India dan Singh juga mula memasuki pawagam menonton filem berbahasa kebangsaan. Menerusi tinjauan yang mereka lakukan, filem lawak itu mampu menarik peminat pelbagai bangsa untuk berhibur dengannya.

"Saya seorang yang percayakan pada rezeki. Kutipan yang dilakukan setakat ini pun sudah menggembirakan saya. Modal pun boleh dikatakan sudah diperoleh semula. Sedikit masa lagi, kami akan memasarkannya dalam bentuk DVD atau CD pula. Manakala sebuah stesen televisyen sudah pun meminta kami menerbitkan Kecoh Betul dalam bentuk siri. Ia perkembangan yang cukup sihat untuk filem ini," katanya.



Berhubung kes penahanan pelakon filem itu, Saiful Apek, pada ketika Kecoh betul ligat ditayangkan di pawagam, Baldev, enggan mengulas panjang kerana tidak mahu melukakan hati mana-mana pihak.

"Bagaimanapun, saya memang berasa sedih atas kejadian yang menimpa dirinya. Bagi saya, dia seorang pelakon yang sentiasa memberikan komitmen terbaik ketika menjayakan filem ini. Malah, bukan dirinya saja, boleh dikatakan semua artis menunjukkan kerjasama cukup baik sepanjang penggambaran dilakukan.

"Komitmen bagus itu pula berlanjutan sehinggalah sesi promosi dan tayangan perdana diadakan. Jadi, saya agak hairan apabila sebahagian daripada artis ini pernah didakwa kurang berdisiplin oleh sesetengah syarikat produksi lain. Saya tidak berdepan sebarang masalah dengan mereka. Kesemuanya, termasuk Apek, datang ke lokasi tepat pada waktunya," ujar pengarah yang juga seorang penerbit ini.

Pada musim perayaan Aidiladha nanti, sebuah lagi filem arahannya, Rasuk, akan ditayangkan. Kali ini memilih untuk menghasilkan judul seram, Rasuk dilakonkan oleh Iqram Dinzly, Fouziah Gous, Fauziah Nawi dan Sidek Hussain.

Oktober ini juga Baldev berharap dapat memulakan penggambaran sebuah lagi filem, berjudul Darah Panas. Ketika ini, mereka berada dalam perbincangan untuk mendapatkan khidmat dua pelakon popular masa kini, Tiz Zaqyah dan Remy Ishak, bagi memperkuatkan filem berkenaan. Secara lisan, katanya, kedua-duanya tidak mempunyai halangan untuk berlakon dalam filem itu.

Darah Panas antara lain berkisar mengenai persoalan tindakan gadis tempatan yang sanggup melarikan diri mengikuti jejaka Lombok kerana cinta.

Carta pecah panggung:

1 - Toy Story 3 (juga dalam 3D)
2 - The Karate Kid
3 - Raavanan
4 - The A-Team
5 - Sex And The City 2
6 - Legenda Budak Setan
7 - Prince Of Persia: The Sand of Time
8 - The Haunting Lover
9 - Kapoww: Atoi The Ajaib Boy
10 - Kecoh Betul

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

Ulasan Filem Kecoh Betul @ Lirikami


Rahsia Kuruskan Badan. Keterangan lanjut,sila klik sini
 
◄Design by Lirikami