Home » » Tentang Ana Raffali

Tentang Ana Raffali

Ana Raffali atau pemilik nama sebenar Ana Nur Hidayah Bt Mohd Raffali ini bukan asing bagi peminat muzik tempatan. Bermula dengan lagu single berjudul ‘Hujan Bunga di Kuala Lumpur’ berjaya melonjakkan nama gadis ini menjadi sebutan ramai. Malah, single pertama beliau ini turut menduduki carta teratas di kebanyakan stesen radio tempatan kini.


Bermula dengan hobi bermain gitar, Ana Raffali mula berjinak menulis lagu sebagai cara meluahkan perasaan beliau ketika menuntut di Universiti Teknologi MARA Shah Alam dalam jurusan TESL. Melibatkan diri dalam pelbagai persembahan di gig-gig kecil, beliau turut memuat naik rakaman nyanyian beliau di laman sesawang YouTube dan kemudiannya telah menarik minat seorang komposer muzik tanahair terkenal, Aidit Alfian untuk bekerjasama dengan beliau. Malah, kehadiran Ana Raffali turut disokong oleh kumpulan pemuzik tersendiri yang dikenali dengan The Marhaens di kebanyakan persembahan konsert.

Gadis ayu yang sentiasa berbaju kurung atau berkebaya ketika muncul di khalayak ramai bersama gitar akustik ini sering mencuri perhatian peminat muzik tempatan. Ketika ditanya mengenai pembawaan imej beliau; “Saya selesa berbaju kurung atau berkebaya ketika mengadakan persembahan. Malah ketika zaman belajar di universiti, saya sering mengadakan persembahan di majlis-majlis keraian universiti yang memerlukan saya memakai baju kurung. Kini, saya telah terbiasa dan saya rasa lebih yakin apabila memakai baju kurung atau kebaya,” menurut pemilik suara lagu ‘Hujan Bunga di Kuala Lumpur’ ini. “Saya juga akan terus kekal dengan imej sebegini setiap kali mengadakan persembahan,” tambah penyanyi ini lagi.

Ana Raffali kini menongkah arus menembusi muzik arus perdana dengan kemunculan album pertama beliau berjudul ‘Ketika Aku Kecil’ di bawah label Aidit Alfian Records. Mempertaruhkan sebanyak 6 buah lagu termasuk single pertama beliau, menariknya adalah kesemua lagu dalam album ini dicipta dan ditulis sepenuhnya oleh gadis ini sendiri. “Lagu-lagu yang saya tulis banyak berkisar tentang kehidupan yang saya lalui, luahan hati saya dan pengalaman yang turut dilalui oleh rakan-rakan saya,” menurut pemilik nama Ana Raffali ini.

Sebuah album edaran Universal Music Malaysia, ‘Ketika Aku Kecil’ karya sepenuhnya oleh Ana Raffali bakal menjengah pasaran tempatan mulai akhir April 2010. Dapatkan album yang menampilkan 6 trek lagu-lagu hebat seperti:-

1. Hujan Bunga di Kuala Lumpur
2. Cuba Jangan
3. Tolong Ingatkan Aku
4. Ketika Aku Kecil
5. Biarkan Kau Terlepas
6. Bentes

Tentang Ana Raffali @ Lirikami

 
◄Design by Lirikami