Home » » Temubual Syamsul Yusof kejayaan KL Gangster

Temubual Syamsul Yusof kejayaan KL Gangster

Karier seni Syamsul Yusof kini berada di puncak apabila filem terbaru arahannya, KL Gangster mencatat kutipan tertinggi dengan angka RM11 juta sejak ditayangkan di pawagam pada 9 Jun lalu.

Ternyata sejak menduduki kerusi pengarahan, anak bujang Datuk Yusof Haslam ini melonjak dari satu anak tangga bermula dengan filem Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift 2 dan Khurafat kerana kutipannya menunjukkan peningkatan.


Bertitik tolak dengan kejayaannya menang Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) melalui Evolusi KL Drift 2, kejayaan Syamsul jauh meninggalkan bapanya yang mendapat jolokan ‘Six Million Dollar Man’ melalui kejayaan Sembilu mencatat kutipan RM6 juta.

Apapun, tentunya kejayaan Khurafat dan KL Gangster memberi cabaran besar kepada Syamsul apabila jangkaan peminat makin tinggi terhadap karyanya selepas ini.

Bagaimanapun, filem barunya, Aku Bukan Tomboy yang akan menjengah pawagam pada November ini mungkin sukar untuk mendapat kutipan tinggi. Mampukah Syamsul menerima hakikat filemnya selepas ini hanya sekadar mencatat kutipan RM3 juta atau RM4 juta?

Cabaran lebih besar lagi apabila Syamsul bakal menghasilkan sekuel KL Gangster selepas hari raya nanti kerana penonton menjangkakan hasil yang jauh lebih hebat.

Bersediakan Syamsul untuk menerima segala cabaran ini? Ikuti luahan hati anak muda ini kepada wartawan Harian Metro, Norhadiani Baharom yanie@hmetro.com.my untuk ruangan ini.

RAP: Bagaimana perasaan anda apabila mendapat jolokan ‘11 Million Dollar Man’?

SYAMSUL: Saya selalu berfikiran sederhana dan beringat-ingat. Saya tidak mahu lemas atau hanyut dengan kejayaan yang sedang saya kecapi sekarang ini.
Saya juga sering menjadi pengkritik kepada hasil kerja saya sendiri.

Saya sedar dengan kejayaan demi kejayaan yang dikecapi, pasti ada yang melabel saya dengan gelaran itu dan ini namun terus-terang, saya sebenarnya tidak suka dipanggil ‘Million Dollar Man’ atau Pengarah Terbaik kerana masih banyak yang perkara perlu dipelajari.

Saya melihat diri saya sebagai individu yang sentiasa ingin mencari kelainan menerusi kerja pengarahannya. Saya akui, setiap kali filem saya menjengah pawagam saya berasa tertekan. Jangkaan penonton terlalu tinggi membuatkan saya berasa takut.

RAP: Kejayaan besar ini sekali gus membuatkan anda berada dalam senarai jutawan muda. Adakah anda mula menerima gangguan dan berasa terancam apabila berada di khalayak umum?

SYAMSUL: Saya masih menjalani kehidupan seperti biasa dan tidak pernah ambil pusing dengan pandangan orang sekeliling.

Saya tetap Syamsul yang dulu. Akan bercakap banyak bila di set penggambaran, selebihnya saya lebih suka menyendiri di rumah dan studio untuk melakukan kerja-kerja suntingan.

Bagaimanapun, bercerita mengenai keselamatan, baru pagi tadi (pagi semalam) pejabat Skop Productions Sdn Bhd disimbah dengan cat merah. Saya sendiri tidak tahu apakah motifnya dan kami hanya menyerahkan kes ini kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

RAP: Kejayaan KL Gangster membuka mata banyak pihak khususnya mereka yang pernah memandang rendah hasil kerja anda. Mungkin ada sesuatu yang ingin anda perkatakan mengenai perkara ini?

SYAMSUL: Saya tidak boleh halang persepsi orang dan saya menghasilkan filem bukan untuk membalas dendam kepada mereka yang pernah memandang rendah di atas kemampuan saya. Saya melakukannya untuk kepuasan diri sendiri dan kebaikan industri perfileman.

Saya bukan jenis orang yang suka bercakap-cakap, tetapi hasil kerja tidak seberapa. Bagi saya, buktikan hasil kerja itu lebih baik daripada cuba membunuh karya orang lain.

RAP: Bagaimana reaksi bapa anda berhubung kejayaan KL Gangster?

SYAMSUL: Sudah tentu dia berbangga dan saya lihat dia lebih terbuka untuk menerima idea gila saya sekarang.

RAP: Khabarnya ada perancangan menghasilkan KL Gangster 2. Apakah formula anda memastikan ia lebih baik, lebih hebat dan lebih berjaya daripada garapan pertama?

SYAMSUL: Setiap sudut dan elemen akan diperbaiki selain persembahannya juga akan lebih matang. Awal-awal lagi sebelum KL Gangster dipertontonkan kepada umum, saya dan pengarah bersama, Rizal Ashraf nampak ada beberapa kelemahan. Disebabkan itu, kami langsung tidak menjangkakan filem ini akan meletup. Jalan ceritanya bagi saya terlalu ringkas dan kekurangan inilah yang akan kami atasi dan memberi penekanan lebih menerusi pembikinan KL Gangster 2.

RAP: Bagaimana pula dengan sekuel Bohsia, Jalan Kembali?

SYAMSUL: Filem ini masih dalam proses suntingan serta memasukkan suara (dubbing). Berbanding garapan sebelum ini, kali ini Bohsia 2 juga digarap lebih matang. Jika sebelum ini banyak menampilkan watak hitam, kali ini Salina Saibi sebagai pelakon utama mula berubah sejak dimasukkan ke pusat pemulihan. Terbit satu keinsafan lalu berusaha menyelamatkan sahabat baiknya iaitu watak yang dilakonkan Nabila Huda. Saya kira ia lebih serius dan sarat dengan pengajaran.

RAP: Aku Bukan Tomboy bakal menjengah pawagam November ini. Apakah anda sudah bersedia jika filem ini tidak mendapat sambutan seperti KL Gangster dan Khurafat?

SYAMSUL: Saya sudah bersedia. Sejak menghasilkan filem Khurafat lagi, saya sudah mempersiapkan diri menerima apa juga kemungkinan.

Syukur Alhamdulillah, rezeki daripada Maha Esa belum ada satu pun daripada filem saya yang tidak mendapat sambutan.

Bagaimanapun, saya percaya sekiranya sambutan filem ini tidak sehangat KL Gangster pasti akan timbul pelbagai isu yang membawa perbandingan. Itu lumrah kehidupan dan saya sedia terima.

RAP: Ada perancangan bekerjasama dengan produksi luar?

SYAMSUL: Memang ada tawaran dari produser Thailand untuk hasilkan filem mereka. Bagaimanapun, saya tolak kerana apabila meneliti skripnya, saya nampak lebih mengangkat budaya mereka berbanding budaya Malaysia.

RAP: Tidak lama lagi anda bakal disaingi adik sendiri, Syafiq yang akan muncul dengan filem pertama, S.A.M (Saya Amat Menyintaimu). Apa yang meyakinkan anda dan bapa anda untuk membenarkan Syafiq mengarah?

SYAMSUL: Saya mula mengarah ketika berusia 21 tahun. Keinginan untuk membabitkan diri dalam bidang pengarahan ini bukan atas desakan papa sebaliknya minat sendiri. Pun begitu saya menimba pengalaman dengan mengarahkan drama terlebih dulu. Manakala Syafiq pula arahan pertamanya adalah filem dalam usia 19 tahun.

Walaupun dia masih muda, saya dan papa mempunyai keyakinan bahawa dia sudah bersedia menjadi seorang pengarah muda. Saya biasa menonton karya filem pendek arahannya dan saya merasakan Syafiq punya potensi jika digilap dan diberikan peluang.

Malah, ada tiga siri episod Gerak Khas diarahkan olehnya dan daripada hasil kerjayanya itu tambah meyakinkan kami. Syafiq sudah bersedia sepenuhnya, cuma pembikinan S.A.M ini dilihat bakal memberi cabaran kepadanya kerana karya yang dihasilkan sebelum ini lebih menjurus kepada komedi. Bagaimanapun untuk S.A.M ia adalah filem bergenre ‘psycho’. Mungkin sengaja cabaran ini diberikan papa kepada Syafiq untuk mencari kelebihan lain yang ada pada dirinya.

RAP: Apakah perbezaan anda dan Syafiq?

SYAMSUL: Minat Syafiq lebih cenderung kepada bidang pengarahan sementara saya pula antara lakonan dan pengarahan kedua-duanya saya suka. Syafiq dari awal-awal lagi menolak untuk menjadi pelakon. Daripada segi karakter pula, saya serius manakala Syafiq lebih mesra dan suka berjenaka.

RAP: Bagaimana anda meraikan kejayaan besar dalam hidup anda ini?

SYAMSUL: Saya bernazar untuk pergi umrah dan Insya-Allah pada Ogos ini kami sekeluarga akan ke Makkah.

Temubual Syamsul Yusof kejayaan KL Gangster @ Lirikami

 
◄Design by Lirikami