Home » » Penyanyi Nas Adila buka car wash,Green Clean Car Wash

Penyanyi Nas Adila buka car wash,Green Clean Car Wash

Penyanyi Nas Adila berkongsi modal bersama membuka car wash,Pusat Kecantikan Kereta Green Clean Car Wash bersama pengurusnya, Redz.

Jika dahulu anak kelahiran Kampung Melayu Majidi, Johor Bahru, Johor ini sering menghiburkan peminat di pentas persembahan, kini masanya banyak dihabiskan di Kompleks Otomobil, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor, membelai 'kotak besi' yang dihantar untuk 'dimandikan'.

"Sekarang ini, di sinilah tempat Nas menghabiskan masa sekiranya tiada undangan menyanyi atau persembahan.

"Tetapi jika ada undangan atau kerja luar, Nas akan pastikan akan ada masa untuk menjenguk Green Clean ini setiap hari," ujar pemilik nama sebenar, Nas Adila Mohd. Dan ketika ditemui S3 di premis perniagaannya.

Tambah penyanyi yang akan tampil dengan lagu terbaru, I Love U itu, dia juga akan turun padang mencuci kereta yang dihantar pelanggan bersama-sama dengan pekerjanya.

Bagi pelantun lagu Bidadari Cinta, sejak memulakan perniagaan tiga bulan lalu, dia tidak betah dengan hanya memerhatikan pekerjanya menjalankan rutin mencuci kereta.

"Nas jadi tidak senang sekiranya hanya duduk dan memerhatikan sahaja apa yang mereka buat. Jadi, apabila kerja di bahagian pengurusan telah siap dan ada kereta yang hendak dicuci, tangan Nas jadi 'gatal' untuk bermain dengan sabun.

"Bagi Nas, mencuci kereta bersama pekerja memberikan lebih kepuasan, selain dapat merapatkan jurang di antara Nas dengan pekerja.

"Lagi pun, Nas rasa sekiranya Nas turut sama melakukan kerja-kerja mencuci kereta, itu akan memberikan lebih kepuasan kepada pelanggan.


" Maklumlah, mata wanita ini lebih tajam. Ditambah dengan sikap cerewet, pasti habuk yang secalit pun dapat dikesan," tambahnya yang turut meminati bidang tarian.

Jelas gadis berusia 25 tahun itu lagi, premis perniagaannya pernah menerima 25 kenderaan sehari dan itulah rekod tertinggi yang pernah dicatatkan sejak Green Clean Car Wash beroperasi.

Itu membuatkan Nas dan pekerja tidak menang tangan untuk mencuci kesemua kenderaan yang ada.

"Alhamdulillah, rezeki setakat ini baik. Lagipun, kami dapat tender dari syarikat kenderaan, Toyota di mana setiap kereta baru yang dijual, akan dicuci terlebih dahulu sebelum dihantar kepada pelanggan.

"Selain itu, ahli kelab Proton Saga (Prossboc) juga sering menghantar kereta mereka di sini untuk dicuci.

"Soal penat... tak usah cakaplah tetapi di sebalik kepenatan itu, timbul keseronokan apabila pelanggan berpuas hati dengan khidmat yang kami berikan," ujar Nas Adila.

Premis berkenaan juga dijadikan tempat latihan menari pada sebelah malam iaitu selepas operasi cucian kereta tamat pada pukul 10 malam.

"Apabila sudah tiada kereta yang masuk pada sebelah malam, Nas akan mulakan sesi latihan menari. Mungkin selepas ini, Nas ingin meletakkan cermin pula untuk memudahkan Nas membuat laithan," ujarnya mengakhiri bicara tengah hari itu.

Penyanyi Nas Adila buka car wash,Green Clean Car Wash @ Lirikami

 
◄Design by Lirikami