Home » » Pengorbanan Ustazah Pilihan

Pengorbanan Ustazah Pilihan

Mulanya hanya 10 tempat disediakan dalam program pencarian pelapis pendakwah muda wanita, Ustazah Pilihan, namun kehadiran ramai calon yang berada pada tahap di luar jangkaan membuka pintu hati pihak Astro Oasis menambah seorang lagi calon, menjadikannya 11 peserta.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, berkata pihaknya sendiri tidak menyangka maklum balas cukup memberangsangkan apabila mereka yang hadir menyahut cabaran melakukan persediaan awal dari segi mental dan fizikal, sekali gus menyerlahkan keperibadian dan kesungguhan yang sukar untuk ditolak.


Katanya, seramai 40 calon disenarai pendek untuk diuji dalam tiga peringkat saringan dan seramai 16 orang dipilih ke tapisan terakhir.

"Agak sayang jika hanya 10 yang diambil sedangkan apabila diteliti semula ramai berpotensi bersandarkan kelebihan masing-masing, bukan hanya mempunyai kelulusan membanggakan malah boleh bertutur bahasa asing seperti Arab dan Parsi.

"Angka ganjil ini juga secara simbolik juga mempunyai pengertian tersendiri. Nabi Muhammad SAW juga menyukai angka ganjil dan 11 juga sebagai tanda tahun ini iaitu 2011," katanya pada sidang media memperkenalkan peserta Ustazah Pilihan.

Peserta ialah Nur Atieqah Mohd Zainudin atau Atiqah, 20; Nur Aqidah Mawardi (Aqidah), 21; Nun Faizah Rohana Mustapha (Faizah), 21; Siti Fatimah Mad Yatim (Fatimah), 21; dan Masfira Hilman (Fira), 27.

Turut terpilih, Firuz Akhtar Mohamad Bohari atau Firuz, 27; Siti Nor Hafidza Razali (Fizah), 21; Nurul Hidayah Kamarudin (Hidaya), 26; Nina Syazmeen Mohd Din (Nina), 23; Siti Fatimah Mohd Sharif (Siti), 26; dan Maryanti Ramle (Yanti), 23.

Bermula minggu lalu, mereka berada di dalam kelas untuk tempoh tiga bulan bagi menjalani sesi pembelajaran hal ehwal berkaitan termasuk dari sudut amali dan praktikal, selain perlu menjalani ujian mingguan.

Walaupun seorang daripada mereka baru enam bulan bergelar isteri, manakala seorang calon lagi menjadi ibu kepada 2 cahaya mata, mereka tetap bersemangat meneruskan sesi pembelajaran dalam proses bergelar pendakwah.

Bagi dua peserta yang kebetulan bersahabat ketika belajar di Universiti Al Azhar, Mesir, Fira dan Hidaya, cubaan menyertai Ustazah Pilihan adalah usaha menimba ilmu yang sewajarnya dikongsi dengan Muslimin lain.

Bagi Fira, ibu bayi berusia setahun dan tiga tahun, restu suami yang juga guru membuatkannya membulatkan tekad untuk menyahut cabaran walau jauh di sudut hati sedih kerana terpaksa berpisah dengan si kecil.

"Inilah pengorbanan tetapi dorongan suami, selain ibu dan kakak yang sedia mengambil alih menjaga anakanak menguatkan lagi azam ini. Semangat saya juga semakin berganda apabila bertemu semula rakan lama, Hidaya, yang turut terpilih," katanya yang membawa baju anak sebagai pengubat rindu.

Hidaya pula mengakui tidak menyangka rakan ketika di Mesir sekitar 2006 bakal menjadi teman seperjuangan dalam sebuah gelanggang ilmu yang baru.

"Jika ibu kepada dua cahaya mata mampu menggalas amanah ini, apatah lagi wanita yang masih solo seperti saya. Peserta lain juga daripada latar akademik berbeza dan sudah pasti kami berpeluang berkongsi pengetahuan bukan hanya daripada kalangan mursyidah, malah dalam kalangan rakan," katanya yang fasih berbahasa Arab.

Sementara itu, peserta akan ditempatkan di akademi di Rawang dan dipisahkan daripada dunia luar untuk membolehkan mereka menumpukan sepenuh perhatian namun mereka masih memberi kelonggaran khususnya kepada peserta yang bergelar ibu.

"Melihat semangat yang ditunjukkan terutama ibu yang berkorban meninggalkan anak buat seketika, ia secara langsung menjelaskan begitu besar pengorbanan wanita, tetapi kelonggaran bukan bermakna kami memberatkan peserta tertentu, ada kaedah yang akan diguna pakai," kata Izelan penuh bermakna.

Seperti diulas pengetuanya, Dr Robiah K Hamzah, semua peserta memiliki lengkap baik dari segi latar pendidikan, kebolehan, pemikiran serta keupayaan menangani permasalahan khususnya membabitkan wanita serta golongan muda, dan mereka hanya membantu menyerlahkan sisi positif itu.

Cabaran Ustazah Pilihan akan dipertontonkan kepada khalayak pada setiap Khamis, jam 9 malam bermula 6 Oktober ini.

Oleh Hanisah Selamat

Pengorbanan Ustazah Pilihan @ Lirikami


Rahsia Kuruskan Badan. Keterangan lanjut,sila klik sini
 
◄Design by Lirikami