Home » » Teater Badai Semalam catat sejarah

Teater Badai Semalam catat sejarah

Dalam tempoh 10 hari dipentaskan bermula 11 November lalu, teater yang mengangkat novel karya Khadijah Hashim, Badai Semalam mencipta sejarah apabila menjadi produksi terbitan Istana Budaya (IB) membuat kutipan tiket paling tinggi dengan RM810,128 dan ditonton hampir 18,000 orang.

Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani, menjelaskan pihaknya menganggap kejayaan terbesar diperoleh teater terbitan bersama Frensis Sdn Bhd itu sangat membanggakan.

"Kami benar-benar tidak menyangka Badai Semalam mencatat kejayaan besar. Malah ia hampir menyamai pencapaian diperoleh teater Natrah yang turut diterbitkan IB sebelum ini," katanya.

Jelas Juhari lagi, kejayaan diraih produksi yang menampilkan barisan pelakon Datin Paduka Umie Aida, Erra Fazira, Aaron Aziz, Fizz Fairuz, Emelda Rosmila, Ziela Jalil dan Jasmin Hamid itu disebabkan beberapa faktor.

"Paling utama yang saya nampak populariti yang sedia ada pada novel Badai Semalam. Ia mengangkat cerita daripada novel terkenal dan turut dijadikan bahan pembelajaran sastera di sekolah suatu ketika dulu menyebabkan ia ada ramai pengikut. Waktu sama ia dimantapkan lagi dengan penampilan barisan pelakon handal punya nama besar dalam industri perfileman tempatan.

Teater Badai Semalam

"Kebijaksanaan Erma Fatima selaku penulis skrip yang mengolah jalan cerita dengan baik turut menjadi faktor penyumbang kepada kejayaan ini. Ramai pihak sukakan jalan ceritanya yang ringan tetapi tetap beremosi," katanya.

Selain itu kata Juhari, pemilihan pelakon tepat untuk melakonkan watak utama dalam novel Badai Semalam turut membantu. Malah dia memuji lakonan dipersembahkan Erra Fazira sebagai Mazni yang disifatkan sangat cemerlang. Begitu juga dengan Umie Aida, Emelda dan Jasmin Hamid.

"Menerusi pemerhatian saya, boleh dikatakan hampir 90 peratus penonton yang datang menyaksikan Badai Semalam ini adalah golongan wanita dan kebanyakannya mereka berusia 30 tahun ke atas. Ini mungkin mereka dulu mempelajari teks sastera Badai Semalam. Selain itu ramai juga saya lihat kehadiran warga emas menyaksikan teater ini," katanya lagi.

Mungkinkah akan ada pementasan semula?

"Memang ada, namun jadual pementasan di IB sepanjang 2012 sudah penuh. Kalau mahu dipentaskan pun kemungkinan besar pada 2013.

"Mengenai perancangan mahu mementaskannya di Singapura, pihak kami masih lagi berbincang dengan pihak Esplanade. Sekiranya persetujuan dicapai, pengumuman mengenainya akan dibuat. Jadi mereka yang tidak berkesempatan menontonnya di sini bolehlah menyaksikannya di Singapura," katanya.

Sementara itu selaku produser bersama, Umie mewakili dua lagi rakan kongsi, iaitu Ziela dan Erra menjelaskan Frensis Sdn Bhd berbangga dengan kejayaan sulung ini yang bermodalkan RM500,000.

Menjelaskan mengenai pementasan semula Badai Semalam selepas ini, Umie mewakili rakan kongsi lain berkata mereka belum lagi memikirkan dengan serius mengenainya.

"Saya sendiri sebenarnya mempunyai perancangan lain. Saya mahu mementaskan pula sebuah teater yang mengisahkan mengenai seorang tokoh negara dihormati ramai. Siapa dia, itu kita rahsiakan dulu. Pementasan itu juga akan saya lakukan sendiri dan tidak membabitkan Frensis Sdn Bhd," katanya.

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Teater Badai Semalam catat sejarah @ Lirikami

 
◄Design by Lirikami