Home » » BFF Teman Tapi Mesra Sinopsis lakonan Sari Yanti

BFF Teman Tapi Mesra Sinopsis lakonan Sari Yanti

Sinopsis BFF… Teman Tapi Mesra
Iskandar (Munif Isa) dan Shahidah (Sari Yanti) berkawan baik sejak zaman kanak-kanak. Mereka saling memahami dan sering berkongsi masalah. Masing-masing merupakan sumber kekuatan untuk mengharungi pelbagai masalah dalam hidup.

Selepas tamat SPM, Iskandar sudah diterima sebagai pelatih juruterbang manakala Shahidah terpaksa menurut kehendak ayahnya untuk belajar di universiti tempatan. Jauh di lubuk hati, Shahidah masih menyimpan cita-citanya untuk menjadi seorang pereka fesyen yang berjaya di ibu kota.

Iskandar yang sudah menjadi seorang juruterbang bersimpati melihat kawan baiknya hidup dalam tekanan akibat kongkongan ibu bapanya. Lantas, dia terfikir hendak membebaskan Shahidah dengan cara melamarnya sebagai isteri. Demi kebebasan dan minat yang membara terhadap kerjaya yang diimpikan, Shahidah menerima lamaran Iskandar walaupun cinta tidak pernah hadir dalam hubungan mereka.



Iskandar dan Shahidah berhijrah ke Kuala Lumpur. Mereka tinggal berasingan dan merahsiakan status mereka daripada orang sekeliling. Iskandar meneruskan kerjayanya sebagai juruterbang manakala Shahidah memohon kerja dengan pereka fesyen yang menjadi idolanya, Elaira.

Shahidah dan Iskandar sering bertukar cerita tentang kerjaya masing-masing. Mereka tidak pernah berbual tentang cinta. Hanya berbual tentang impian mahu menjadi yang terbaik dalam industri yang mereka ceburi. Sehinggalah suatu hari, Iskandar telah jatuh cinta dengan Karmila, seorang pramugari. Shahidah mula rasa kesunyian kerana Iskandar asyik melayan Karmila. Dia mula rindukan perhatian Iskandar.

2 tahun sudah berlalu, Iskandar berbincang dengan Shahidah tentang penceraian mereka kerana dia merancang untuk berkahwin dengan Karmila. Walaupun hati Shahidah terguris tetapi dia menerima hakikat bahawa mereka akan ‘berpisah’ pada suatu hari juga. Namun, hasrat mereka terpaksa ditangguhkan kerana ibu Shahidah meninggal dunia.

Hubungan Iskandar dan Karmila putus apabila Karmila beralih cinta kepada seorang duda yang kaya. Iskandar terluka dan Shahidah sentiasa berada di sisinya untuk memberikan kata-kata semangat. Lalu Iskandar sedar bahawa Shahidah bukan lagi sebagai teman baik tetapi pasangan hidup yang lengkap. Iskandar telah jatuh cinta kepada teman baiknya sendiri.

BFF Teman Tapi Mesra

Bagaikan sudah terlambat bagi Iskandar kerana Shahidah semakin rapat dengan Emran (Irfan Roslan) dan sedia menerimanya sebagai cinta pertama. Apakah kesudahan bagi hubungan Shahidah, Iskandar dan Emran? Jangan ketinggalan untuk menonton kesudahan kisah Shahidah, Iskandar dan Emran menerusi ‘BFF…Teman Tapi Mesra’ pada setiap Ahad jam 9.00malam.

Drama bersiri BFF… Teman Tapi Mesra selama 8 episod ini membariskan bakat-bakat muda seperti Sari Yanti, Munif Isa, Irfan Roslan dan Syatilla Melvin.


BFF Teman Tapi Mesra Sinopsis lakonan Sari Yanti @ Lirikami

 
◄Design by Lirikami