Home » » » Lirik Lagu Berendoi - Dondang Siti Fatimah (Dikir Siti Fatimah)

Lirik Lagu Berendoi - Dondang Siti Fatimah (Dikir Siti Fatimah)

Lirik Lagu Berendoi (Naik Buai) - Dendang Siti Fatimah



Zaman-zaman ya Rasullullah
Zaman Nabi tanah Mekah
Wafat Nabi di Madinah
Meninggalkan anak Siti Fatimah.

Syair :
Bismillah itu mula pertama
Keadaan zat bersama-sama
Dizahirkan sifat tentukan asma
Qidam dan baqa sedialah lama.

Asal daripada Nabi Allah
Asal nawahi Nur Khatam
Dipecah empat akhir qidam
Dipecahnya itu sekalian alam

Rahim bapamu turun ibumu
Empat puluh hari Nadqah namamu
Lapan puluh hari Nadqah namamu
Seratus dua puluh hari Madqah namamu.

Dikandung ibumu sembilan bulan
Lebih dan kurang tiada ditentukan
Beberapa azab kesakitan
Dipantang pula minum dan makan.

Apabila ibumu perutnya sarat
Hendak berjalan tiadalah larat
Hatinya itu terlalu gelorat
Bapamu pantang terlalu berat.

Bapamu itu kerasnya pantang
Siang dan malam pagi dan petang
Tiada berani membunuh binatang
Takut akhirnya cederanya datang.

Alib :
Hassan Hussin anak cucu Rasulullah
Mati Hassan tinggal Hussin
Mati perang Sabilillah.

Apabila sudah cukupnya hari
Sakitlah ibumu tiada terperi
Bapamu pun turun berlari-lari
Memanggil bidan bawa ke mari.

Bidan pun datang tiadalah lambat
Serta membawa kelengkapan ubat
Dilihatnya penuh saudara sahabat
Bidan pun naik bertempuh rapat.

Sakit ibumu tiada terkira
Berhimpunlah sanak saudara
Sangatlah ramai tiada terkira
Sekeliannya itu duduk berjaga.

Perutnya sakit bagai nak pecah
Bukannya kurang makin bertambah
Dipanggil bapamu disuruhnya langkah
Dipintanya ampun barang yang salah.

Alib :
Adam Siti Hawa datuk nenek moyang kita
Wafat di Judah di luar kota
Panjang kuburnya 40 hasta
Batu nisannya berjajar tiga.

Apabila engkau sudah jatuh ke lantai
Bidan datang segera dicapai
Dibasuh dicuci semua selesai
Diambil kain diberi pakai.

Kenanglah olehmu Awang oan Dayang
pada ibu bapamu hendaklah sayang
Sakitnya badan hangat berdiang
Hangat serta malam dan siang.

Ibumu berdiang tiada berhenti
Hidupnya pun serasa mati
Terlalu gundah di dalam hati
Antara anak lepas 44 hari.

Waktu ibumu di atas gerai
Air matanya jatuh berderai
Wahai anakku emas berurai
Dengan ibumu jangan bercerai.

Beranakkan engkau sudahlah tentu
Diletak dalam talam yang satu
Bapanya rendam gula batu
Diberi hisap ganti susu.

Di antara anak lepas 44 hari
Pusat engkau luruh sendiri
Dipotong rambut buat kenduri
Haji dan Lebai dipanggil ke mari.

Ayuhai anak paras gemilang
Pada ibumu banyaklah sayang
Dipeliharanya engkau bukannya senang
Tidur tak lena makan tak kenyang.

Memelihara engkau terlalu sudah
Tidur tidak pernah merasa mudah
Kiri kanan habis basah
Berlumur kencing dengan muntah.

Dijaga engkau tidak terperikan
Engkau diletak di atas ribaan
Tatkala menangis dipujukkan
Segala makanan tiada tertelan.

Alib :
Adam Siti Hawa
Datuk nenek moyang kita
Mati di Judah di luar kota
Berapa panjang kuburnya 40 hasta.

Syair :
Ibumu itu penat terlalu
Digantang tirai serta kelambu
Serta pula dipasang tuntu
Tak diberi nyamuk hampir padamu.

Ibu bapamu miskin terhutang
Kain sehelai haram di pinggang
Kain pun basah anak dipegang
Tarik ke atas di bawah renggang.

Susahnya ayah bukan sedikit
Disuluh nyamuk tak diberi gigit
Bila menangis bunyi sedikit
Daripada tidur segera bangkit.

Diangkat di diri dialah lali
Ayuhai anakku emas gemala
Diminta doa kepada Allah Taala
Supaya jangan mendapat cela
Ayuhai anakku emas rupawan
Tidurlah anak atas pangkuan
Ibu berdoa ke hadrat Tuhan
Jangan terkena penyakit sawan.

Jika ibu bapamu orang miskin
Tiada sampai dua helai kain
Biar jimat dia dipakai
Ditampung dihubung dibuat lampin.

Dengarlah anak yang berbahagia
Sampai umurmu muda belia
Baik tingkah kelakuan kaya
Dipuji orang akannya kita.

Kepada ibu bapa jangan dilawan
Sangat dimurka olehnya Tuhan
Ke dalam neraka dimasukkan
Azabnya tidak terperikan.

Jika disuruh engkau mengaji
Membaca Quran jangan dibenci
Supaya dapat makam terpuji
Sama ada perempuan atau lelaki.

Janganlah takut pergi mengaji
Di Padang Mahsyar tiadalah rugi
Buang olehmu fiil yang keji
Supaya terang hati mengaji

Sembahyanglah anak jangan berhenti
Dari hidup sampai ke mati
Di Padang Mahsyar diguna nanti
Di sanalah ayah bonda menanti

Sembahyang itu jangan dielak
Siang dan malam janganlah tidak
Serta mengaji janganlah tidak
Itulah tuntutan sangat dikehendak.

Janganlah tuan mengikut nafsu
Berkehendakkan intan permata batu
Minta jauh sekeliannya itu
Kepada Allah juga yang tentu.

Jika kita pergi mengaji
Kepada lebai ataupun haji
Kita ikutlah bersungguh hati
Jangan diumpat atau dikeji.

Ayuhai anakku muda bestari
Jangan bermain sehari-hari
Banyaklah ilmu engkau pelajari
Supaya senang kemudian hari.

Janganlah tuan segan dan silu
Pergilah mengaji kepada guru
Ikutlah tuan katanya itu
Jangan dibuat barang tak tentu.

Jika kita pandai mengaji
Ibu dan bapa bersuka hati
Kasihan ia tidak terperi
Ialah sangat berkehendak di hati.

Habislah nasihat tamat kalam
Dendang Fatimah ampun dalam salam
Salah silapnya tersebut kelam
Jangan simpan hati di dalam.

Lirik Lagu Berendoi - Dondang Siti Fatimah (Dikir Siti Fatimah) @ Lirikami


Rahsia Kuruskan Badan. Keterangan lanjut,sila klik sini
 
◄Design by Lirikami