Home » » Sitkom Annisa, gelagat tiga wanita muslimah moden

Sitkom Annisa, gelagat tiga wanita muslimah moden

Sitkom 13 episod, Annisa disiarkan setiap Ahad jam 8.30 malam di stesen TV AlHijrah mengisahkan gelagat tiga wanita muslimah moden yang bijak, berdikari, lucu serta mencuit hati.

Kisah Annisa bermula bila tiga wanita muda ini diminta mengambil alih perniagaan kafe milik rakan mereka yang berpindah ke Chicago untuk melanjutkan pelajarannya.

Sitkom Annisa,TV AlHijrah

Saksikan bagaimana mereka yang kurang berpengalaman dalam bidang pengurusan kafe ini bertungkus-lumus menguruskan kehidupan masing-masing dan pada masa sama berusaha untuk memajukan perniagaan kafe mereka yang diberi nama Annisa Cafe. Selain itu, sitkom ini menjanjikan pelbagai emosi pada penonton khusus untuk penonton setia TV AlHijrah.

Annisa yang sesuai ditonton seisi keluarga ini adalah siri sitkom terbaru terbitan Primeworks Studio untuk TV AlHijrah yang memaparkan isu-isu semasa dan relevan dengan kehidupan masyarakat serta diselitkan nilai-nilai moral dalam bentuk 'infotainment'.

Barisan pelakon yang menjayakan sitkom ini ialah Raja Farah (Tria), Sari Yanti (Nita), Diana Amir (Audy) serta Bienda (Lili). Tria yang berusia awal 22 tahun amat menghargai seni. Selain penulis, dia juga pandai membuat kek cawan. Cara pembawaan diri yang santai membuatkan watak Tria disukai ramai.

Di sebalik penampilan yang meyakinkan, Tria juga seorang yang bijak, penyabar, sentiasa memberi inspirasi kepada yang lain. Tria juga suka menggunakan blog sebagai medium meluahkan perasaannya.

Nita pula sudah berkahwin, berusia 23 tahun dan mempunyai suami yang bekerja sepenuh masa sebagai 'suri rumah'. Nita juga mendapat perhatian dan belas kasihan semua orang yang melihatnya. Dia juga sentiasa menjaga hubungan yang baik dengan semua rakan-rakannya. Walaupun mudah panik, sifatnya juga mencuit hati dan dia juga wanita yang bijak.

Audy pula wanita yang suka mencuri perhatian ramai. Selain comel, jelita dan suka menggoda lelaki tetapi dia tetap tahu batasannya. Audy, adik bongsu Lili adalah wanita yang sangat bergaya dan suka menyesuaikan dirinya dengan trend terkini dalam dunia fesyen.

Walaupun usianya baru mencecah 20 tahun, Audy mempunyai sifat besar kepala dan sering kali memikirkan dirinya saja yang betul dalam apa jua keadaan.

Manakala Lili, wanita yang bercita-cita besar dan optimistik. Dia juga mempunyai minat untuk mengembara serta suka mencuba perkara-perkara yang baru.

Tidak ketinggalan, Lili, 23 tahun, tidak bekerja dan menunggu peluang untuk melanjutkan pelajaran. Minat memasak tetapi Lili meletakkan pelajaran sebagai fokus utamanya. Di dalam episod kedua, Lili akan menyambung pelajarannya dalam bidang kulinari di Chicago.

Sitkom Annisa, gelagat tiga wanita muslimah moden @ Lirikami

 
◄Design by Lirikami