Home » » Lirik Zaman Jepun Kedah -Pak Ku Shadat

Lirik Zaman Jepun Kedah -Pak Ku Shadat

Lirik Zaman Jepun Kedah -Pak Ku Shadat

Hai Jepun Perintah pulak 3 tahun 8 bulan
susah nak makan minum dan juga pakaian
sama orang lelaki dan juga perempuan
dimakan ubi kayu cicah dengan nisan

Hai Jepun langgaq tahun patpuluh satu
banyak orang putih lari tak tentu kalu
masuk segenap lubang kubu
karna dia takut senapang dan jugak peluru

Hai Jepun masuk ke dalam negara Siam
jambatan titi orang putih dia bom
segala gudang-gudang Jepun dia hentam
permintaan Jepun sangatlah kejam

Hai Jepun masuk jalan Padang Besaq dan Changlon
Puak Jepun datang ramai berduyun-duyun
padi beras hak kita dia rampas dia samun
banyak rakyat makan beras dengan timun

Hai pergaduhan Jepun dengan barang perniagaan
Jepun jual sangat murah mangkuk dan pinggan
bertengkaq berbalah sampai pulak pergaduhan
akhir-akhir rakyat jugak mendapat kesusahan

Hai Jalan Padang Besaq datang mari Jepun
naik kretapi asap berkelon-kelon
hukuman Jepun pulak macam penyamun
salah tak salah disepak dibalun

Hai Jepun masuk nak perintah Tanah Malaya
Cina, Siam , Melayu pakat takut belaka
kerana dia sangat keras kepala
padi hak kita dia ambik saja

Hai tahun ulaq kecil diapun masuk
bila berjumpa Jepun kepala kena hangguk
dia tak kira berperan tak kira datuk
perangai Jepun semacam dengan beruk

Hai hari Isnin Jepun mulai masuk Malaya
datang berduyun-duyun masuk dengan segera
Jepun marah dekat  orang putih krana berniaga
orang putih hentam kepala tauke shiba

Hai mula-mula tauke shiba menjual kuih sepit
harganya satu keping satu duit
dalam kuih sepit ada cincin kuning mengelit
dengan budak-budak habis dia kutip duit

Hai Jepun dah sampai pulak di Kepala Batas
peluru dan senapang semua dia galas
orang putih larui yang sangat deras
jikalau dapat ke tangan dia nyawa pulak rentas

Hai Jepun dah sampai pulak di Pekan Alor Setaq
Pakat takut lari terketaq-ketaq
tak kira tua muda kecik dan besaq
kita tak hangguk kepala dah kena penampaq

Hai Melayu dan Siam pakat banyak makan ubi kayu
padi dan beras habis dia sapu
siapa buat salah dia hentam dengan peluru selalu
ditanam selubang Hindu, Cina dan Melayu

Hai Jepun suruh pakat usung kayu
jika tak larat usung dia buang satu-satu
dia suruh bawak pulak dipukul dipalu
ada setengah orang mati pulak di situ

Hai selama Jepun perintah 3 tahun 8 bulan
banyaklah rakyat mendapat lagi kesusahan
susah mendapat minum dan makan
kena pakai sarung guni buat tudung kemaluan

Hai hukuman Jepun rakyat semua takut
kalu buat salah dibagi minum dipijak perut
nyawa pulak jadi naik pasang surut
terkadang-kadang nyawa terus tercabut

Hai rakyat yang salah disepak cancin
terkena sekali terberak terkencin
mata terkeluaq api hijau dan kunin
perut senak kepala naik penin

Hai Jepun dia kerah rakyat membuat jalan
kena masuk segenap ke dalam hutan
mau tak mau dia hukum paksakan
ada yang mati dengan krana kelaparan

Hai zaman Jepun takdak ada banyak sekolah
saya mengaji Quran di rumah Lebai Lah
di situ pulak tak dikira darjah
boleh baca Quran dia kata sudahlah

Hai zaman Jepun ada banyak penyakit
nyamuk tuma semua dia gigit
kudis buta cabuk di kulit
takdak kelambu secarik rabik

Hai zaman Jepun takdak pulak gores api
diplaga batu bersama dengan besi
bagi masuk habuk duduq yang kering sekali
ditepuk dipercik keluaqlah api

Hai perintahan Jepun sangatlah keras
kalu buat salah ditangkap berkas
dia suruh pulak menyangkoi batas
dia bagi minum ayaq dia jemuq panas

Hai Jepun masuk dengan serentak
barang pakaian kesemuanya takdak
perangai Jepun macam kelaku budak-budak
kita silap sikit dia pasang pulak penyepak

Hai cakapan Jepun banyaklah susah
apa dia kata kita tak paham sepatah
dia bunyi sora kruh kreh wah kruh krah
kita jawab tak jawab jadi serba salah

hai loghat bahasa Jepun bunyi macam kera
kruh kreh wah kruh krah kita kena angguk kepala
jika tak angguk dia kata korang bahasa
kena penyepak dia dah sakit tak sangka

Hai kita tak boleh pergi pulak ke sana sini
takdak kain kena pakai sarung guni
habis kesemua anak dan bini
duduk pulak di tempat yang sunyi

Hai tahun kera Jepun sudah pulang
krana dia kalah masuk menentang berperang
orang putih hantaq balik dengan kapai dan tongkang
tenggelam ayaq laut mampus terkangkang

Hai Amerika bom pulak di bandaq Toshima
banyak yang mati lagi jantan dan betina
termasuk Jepun, Hindu dan Cina
yang mana mampuih mulut ternganga

Hai habislah kisah Jepun ampunya cerita

ZAMAN JEPUN - (KEDAH)
Penyanyi : Pak Ku Shadat

Visit:
http://www.liriklagumuzika.com

Lirik Zaman Jepun Kedah -Pak Ku Shadat @ Lirikami

 
◄Design by Lirikami